'Terima kasih MB Perak...'
IPOH - UMNO Perak berpendapat video kontroversi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang tular antara penyumbang Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam.
Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, penularan video itu memudahkan lagi kempen BN tanpa perlu memikirkan strategi sukar untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada PRK berkenaan.
"Yang itu (video tular) sebahagian daripadanya. Kami tak perlu kempen, mereka tolong kempen. Video itu sendiri membantu kami.
"Punca utama kemenangan itu adalah faktor calon yang tepat. Kedua adalah kesepaduan pendukung Muafakat Nasional," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemenangan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakili BN ke atas PH, Karmaine Sardini dan calon lain pada PRK itu.
Sebelum ini, satu rakaman video perbualan Ahmad Faizal ketika membantu calon PH bagi PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini tular mengatakan beliau terpaksa berseorangan berlawan dengan DAP di Perak.
ARTIKEL BERKAITAN: Klip video MB Perak cetus tanda tanya
Bagaimanapun, Ahmad Faizal menyifatkan video tersebut diambil di luar konteks dan sengaja ditular pihak tidak bertanggungjawab.
Saarani berkata, kemenangan itu juga menunjukkan penerimaan rakyat terhadap Muafakat Nasional yang digerakkan BN dan Pas.
Katanya, kempen BN di Tanjung Piai antara kempen PRK paling mudah iaitu hanya menceritakan kegagalan kerajaan.
"Lebih parah lagi calon PH (Karmaine) telah mempersendakan harga sawit dalam kempennya mengatakan harga sawit RM200 bagi 1 tan mencukupi tetapi rakyat bagi mesej bahawa harga itu tidak mencukupi menyebabkan mereka menderita," katanya.
Saarani berkata, keputusan PRK itu juga menunjukkan rakyat sudah meluat dengan PH walaupun mereka menurunkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bakal Perdana Menteri kelapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen tetapi masih gagal menarik sokongan pengundi.