Juruteknologi makmal ditemukan mati dalam kereta

Anggota polis memeriksa keadaan mayat berkenaan yang ditemukan dalam sebuah kereta. Foto: Ihsan IPD Kuala Langat
Anggota polis memeriksa keadaan mayat berkenaan yang ditemukan dalam sebuah kereta. Foto: Ihsan IPD Kuala Langat
A
A
A

BANTING - Seorang juruteknologi makmal perubatan ditemukan maut di dalam sebuah kereta di kawasan parkir awam Pantai Morib, semalam.

Mangsa, Nadiah Sapaian, 24, ditemui terbaring di kerusi pemandu kereta jenis Hyundai Matrix sekitar jam 5.30 pagi di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitenden Azizan Tukiman berkata, sewaktu mangsa ditemui, polis mendapati enjin dan pendingin hawa kereta berkenaan masih hidup.

"Pemeriksaan awal mendapat tiada sebarang kesan luka atau kesan kecederaan pada mangsa dan beg tangan serta telefon bimbitnya juga ditemui di tempat kejadian.

"Tiada sebarang unsur jenayah berlaku di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Banting dan hasil bedah siasat masih belum diketahui.

Beliau berkata, mayat berkenaan juga telah diserahkan kepada ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Indah.

Artikel Berkaitan: