Analisis kemenangan BN

Dr Wee Jeck Seng dan keampuhan jentera BN dibantu Pas melalui kerjasama Muafakat Nasional dianggap faktor utama memberi kemenangan besar BN. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

POPULARITI calon MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan keampuhan jentera Barisan Nasional (BN) dibantu Pas melalui kerjasama Muafakat Nasional dianggap faktor utama memberi kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semalam.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan BN memilih Jeck Seng satu keputusan tepat memandangkan bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai itu dilihat lebih berpengalaman, berwibawa dan mesra berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini.

Menurutnya, kekuatan Jeck Seng juga ditunjangi oleh keampuhan jentera BN dan Pas yang berjaya disatukan menerusi Muafakat Nasional.

"Faktor itu amat signifikan kerana jentera UMNO dan Pas dilihat berusaha keras memastikan setiap pengundi putih dibawa keluar mengundi, walaupun kerusi Parlimen Tanjung Piai ditandingi calon dari MCA.

"Selain itu, isu-isu kemarahan dan kekecewaan rakyat terutama masyarakat Cina terhadap kegagalan kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup, janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak dipenuhi dan kegagalan PH menangani isu-isu sensasi dimainkan BN juga menyumbangkan kepada faktor kekalahan PH pada kali ini," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Dr Sivamurugan berkata, analisis ringkas dibuat berdasarkan pemerhatiannya setelah beberapa kali turun ke lapangan di Parlimen Tanjung Piai untuk membuat kajian PRK.

Menurutnya, calon PH juga dilihat terperangkap dengan isu tercetus akibat kesilapan mereka sendiri di samping kebijaksanaan jentera BN memainkan isu-isu negatif melibatkan kerajaan PH yang akhirnya mempengaruhi keputusan pengundi.

"Saya ambil contoh kenyataan Karmaine mengundang kemarahan golongan pekebun kecil apabila meminta mereka bersyukur meskipun harga komoditi kelapa sawit masih rendah.

"Di samping itu, kekalahan kali ini juga dilhat lebih kepada faktor undi protes pengundi Cina yang menggunakan kesempatan ini untuk meluahkan kekecewaan mereka terhadap prestasi kerajaan PH,"katanya.

Dr Sivamurugan turut mendedahkan terdapat maklum balas daripada masyarakat Cina di sini yang menganggap pemberian satu undi kepada PH sama dengan pemberian satu undi kepada parti Bersatu atau Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir secara spesifik.

Menurutnya, masyarakat Cina dikatakan marah dengan tindakan Dr Mahathir yang dikatakan berjaya 'melembutkan' pemimpin DAP.

"Dengan kekalahan ini, saya juga tidak boleh menyangkal teori pengundi Cina mengharapkan kekalahan kali ini menjadi pemangkin usaha mempercepatkan tempoh peralihan tampuk kepimpinan negara kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya yakin pasca PRK Tanjung Piai kali ini sudah pasti ada sebahagian pihak cuba mengambil kesempatan untuk menyegerakan proses peralihan tampuk kepimpinan negara di samping memberi tekanan berterusan kepada Dr Mahathir untuk mempercepatkannya,"katanya.

Sementara itu, dari pemerhatian Sinar Harian, kekalahan Karmaine di tangan Jeck Seng lebih terarah kepada faktor kemarahan rakyat terhadap kerajaan PH yang dianggap masih gagal menunaikan pelbagai janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain itu, majoriti pengundi Cina dilihat kecewa dengan kegagalan kerajaan PH memulihkan ekonomi negara, terutama kejatuhan harga komoditi kelapa sawit di samping keadaan ekonomi yang semakin tidak menentu.

Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, PRK Tanjung Piai menjadi ujian penentu kepada penilaian prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk penggal ini.

Menurutnya, keputusan yang diperoleh melalui PRK tersebut merupakan petanda bahawa rakyat pada hari ini semakin matang dalam menilai prestasi kerajaan.

“Bukan bermaksud mereka tidak menyokong kerajaan tetapi mereka mahukan sesuatu yang mereka nak capai seperti apa yang dijanjikan kerajaan.

“Ujian penentu adakah prestasi kerajaan sekarang ini harus dipertingkatkan atau kerajaan sekarang benar-benar mendengar keluhan dan rintihan rakyat.

“Pengundi sekarang bijaksana dan kebanyakan pengundi di Tanjung Piai adalah yang bekerja di luar Johor. Mereka balik untuk mengundi dan mereka mengatakan bahawa mereka harus melakukan reformasi supaya kerajaan mengotakan janji manifesto,” katanya di sini semalam.