Koperasi disaran teroka bidang pelancongan

Nordin (kanan) ketika merasmikan Hotel De Bleu milik Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad (KPDL) hari ini.
Nordin (kanan) ketika merasmikan Hotel De Bleu milik Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad (KPDL) hari ini.
A
A
A

LANGKAWI - Koperasi disaran meneroka peluang dalam bidang pelancongan dan aktiviti hilirannya yang memiliki potensi besar bagi meningkatkan pendapatan gerakan berkenaan.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh berkata, sektor pelancongan dan aktiviti hiliran khususnya di luar bandar kaya dengan sumber semula jadi yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat serta menjana ekonomi.

Menurutnya, industri pelancongan antara sektor ekonomi yang boleh diceburi koperasi bersaiz kecil mahupun mikro.

“Sebahagian besar kawasan luar bandar kaya dengan sumber semula jadi yang boleh dijadikan aset untuk menjana ekonomi koperasi setempat.

"Sektor ini juga boleh mewujudkan peluang perniagaan baharu selain menawarkan pekerjaan kepada penduduk setempat sekaligus menjadikan koperasi lebih berdaya saing dalam menjana ekonomi,” katanya selepas merasmikan pembukaan Hotel De Bleu milik Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad (KPDL) hari ini.

Hotel De Bleu dibuka sejak November 2018 menawarkan 44 buah bilik penginapan dengan pelaburan bernilai RM4.3 juta di mana kos pembinaannya RM1.9 juta serta kos pengubahsuaian sebanyak RM2,382,415.

Nordin berkata, ini merupakan salah satu daripada 82 buah rangkaian hotel koperasi di seluruh negara.

“Saya harap kejayaan KPDL membangunkan hotel tersebut memberi inspirasi kepada koperasi lain untuk menceburi bidang sama. Ini kerana sehingga 30 September lalu, sektor pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan menyumbang sebanyak RM211.98 juta kepada perolehan koperasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis sama, Suruhanjaya Koperasi turut menyampaikan bantuan pembangunan kepada tiga buah koperasi di daerah Langkawi yang terlibat dalam aktiviti pelancongan berjumlah RM600,000 iaitu Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad (RM50,000), Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad (RM300,000) dan Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad (RM250,000).

Turut disampaikan pinjaman Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) bernilai RM2 juta kepada Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Berhad.

Sehingga 31 Oktober 2019, kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi menyalurkan bantuan pembangunan kepada 83 buah koperasi dengan jumlah RM3.77 juta. Manakala bagi pinjaman TMP-JPK, jumlah pinjaman diluluskan sebanyak RM55.08 juta yang memberi manfaat kepada 38 buah koperasi.