Eswaran menangis lihat keranda bayi

Eswaran (kanan) menerima anugerah tersebut daripada Fuziah pada majlis penganugerahan di Masjid Wilayah Persekutuan semalam.
Eswaran (kanan) menerima anugerah tersebut daripada Fuziah pada majlis penganugerahan di Masjid Wilayah Persekutuan semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tugasnya mengendalikan urusan istiadat rasmi negara, namun Istiadat Penghormatan Jenazah MH17 memberi kesan paling mendalam buat S Eswaran, 39.

Penolong Jurutera Kanan, Bahagian Istiadat, Jabatan Kerja Raya (JKR) itu merupakan salah seorang penerima Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2019M.

Menurut Eswaran, beliau berulang kali cuba mengawal kesedihan tetapi tanpa sedar air matanya tumpah juga tatkala menerima sebuah keranda kecil dipercayai milik seorang bayi.

“Semasa raptai kami menggunakan keranda kecil juga namun tidak pula rasa sebak namun semuanya berubah apabila tiba hari sebenar menyambut ketibaan jenazah.

“Air mata tiba-tiba mengalir sewaktu menerima keranda paling kecil milik mangsa tragedi pesawat MH17 yang dibawa turun dari pesawat. Saya cuba tahan tapi tak mampu.

“Bukan saya sahaja, semua rakan setugas saya turut mengalirkan air mata. Emosi, tangisan dalam istiadat itu tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.

Eswaran berkata, tugas paling mencabar buat dirinya pula adalah menguruskan persiapan bagi menyambut ketibaan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama ke Malaysia pada 2014.

“Apa pun saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk jawatankuasa pemilihan tokoh Maulidur Rasul yang memilih saya sebagai penerima Anugerah Tokoh Khas ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Eswaran adalah antara dua penerima Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2019M bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan di sini semalam.

Penerima anugerah bergambar kenangan selepas selesai majlis.
Penerima anugerah bergambar kenangan selepas selesai majlis.

Seorang lagi penerima ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Sementara bekas Felo Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd Roslan Mohd Saludin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2019.

Majlis penganugerahan disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh.

Masjid Ar-Rahimah di Kampung Pandan, Kuala Lumpur menerima Anugerah Masjid Terbaik Wilayah Persekutuan dan dalam masjid sama, lima masjid dianugerahkan Penarafan Lima Bintang daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).