RM4.14 bilion Belanjawan 2020 Sabah

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2020 berjumlah RM4.14 bilion dengan berteraskan aspirasi untuk melonjakkan pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat.

Ketika membentangkan belanjawan kedua kerajaan baharu diterajui Parti Warisan Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, anggaran kutipan hasil negeri Sabah pada tahun hadapan ialah RM4.19 bilion dengan belanjawan lebihan berjumlah RM48.55 juta.

Beliau berkata, ini menunjukkan kedudukan kewangan negeri kekal dalam kedudukan sihat dan stabil.

"Bertemakan 'Merancakkan Pembangunan Untuk Kesejahteraan Rakyat', belanjawan dirangka berteraskan aspirasi dan komitmen kerajaan negeri dalam melonjak dan mempercepatkan pembangunan negeri demi kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Menurutnya, anggaran kutipan hasil RM4.19 bilion pada 2020 itu melibatkan penurunan sebanyak RM72.6 juta berbanding RM4.26 bilion pada tahun ini.

Beliau berkata, anggaran hasil negeri pada 2020 terdiri hasil bukan cukai sebanyak RM2.69 bilion dan terimaan bukan hasil berjumlah RM463 juta.

Katanya royalti petroleum sebanyak RM1.7 bilion dijangka menjadi penyumbang utama hasil atau 40.55 peratus daripada keseluruhan belanjawan.

Anggaran ini berdasarkan bayaran diterima daripada Petronas pada tahun ini sebanyak RM1.7 bilion yang merupakan jumlah royalti tertinggi diterima dalam sejarah Sabah setakat ini, katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shafie berkata cukai jualan minyak sawit mentah (CPO) merupakan peneraju bagi kategori hasil dijangka menyumbang sebanyak 19.68 peratus daripada hasil keseluruhan 2020 atau sebanyak RM825 juta.

Beliau berkata, anggaran kutipan hasil 2020 bagi cukai jualan negeri ke atas tiket loteri kekal pada tahun ini sebanyak RM60 juta manakala jumlah kutipan hasil daripada cukai jualan mesin slot akan menurun drastik daripada RM18 juta kepada RM1.5 juta berikutan polisi kerajaan negeri menghentikan kegiatan judi atau pertaruhan melalui mesin slot.

Menurutnya, Perintah Cukai Jualan Negeri (Kadar Cukai) 2014 yang membenarkan cukai ke atas komoditi perikanan yang dibawa keluar daripada Sabah telahpun diwartakan dan kutipan cukai dilaksanakan pada tahun depan dengan anggaran kutipan sebanyak RM10 juta.

Beliau berkata, terimaan dan sumbangan kerajaan persekutuan bagi 2020 dijangka menyumbang sebanyak RM463.2 juta daripada jumlah keseluruhan anggaran hasil negeri

Mohd Shafie berkata, daripada jumlah anggaran perbekalan 2020, sejumlah RM739.59 juta disyorkan untuk emolumen yang mencatatkan penurunan sebanyak RM2.55 juta berbanding anggaran tahun ini berjumlah RM742.14 juta.

Menurutnya, perbelanjaan berulang disyorkan sebanyak RM1.49 bilion untuk 2020, meningkat RM123.94 juta berbanding RM1.37 bilion pada tahun ini

Beliau berkata, perbelanjaan khas pada 2020 disyorkan sebanyak RM1.9 bilion, menurun sebanyak RM137.2 juta berbanding RM2.04 bilion pada tahun ini.

"Penurunan perbelanjaan khas ini antaranya disebabkan oleh caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Khas yang tidak lagi diperlukan kerana pembayaran balik bon bernilai RM1 bilion akan dilunaskan sepenuhnya pada tahun ini," katanya.

Mohd Shafie berkata, bagi perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM960.9 juta diperuntukkan pada 2020 terdiri RM735.6 juta daripada peruntukan Kerajaan Negeri Sabah dan peruntukan kerajaan persekutuan sejumlah RM225.2 juta. - Bernama