APMM Kelantan tetap pantau perairan ketika musim tengkujuh

Muhd Nur Syam Asmawie (dua dari kanan) menasihati Mahadi Mahmud, 42, agar menggunakan jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti sungai pada Program Pertemuan APMM Kelantan Bersama Penduduk di Pulau Muara Sungai Kelantan Untuk Persiapan Banjir hari ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA BHARU - Aspek keselamatan dan penguatkuasaan perairan negara tetap menjadi keutamaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan sepanjang musim tengkujuh.

Pengarahnya, Komander Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, ia penting bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan mencerobohi perairan ketika musim banjir.

"Sebagai agensi penguatkuasaan di laut kami telah membuat persiapan sewajarnya untuk pastikan aktiviti pencerobohan dikawal sepenuhnya. Kita tidak akan membiarkan penyeludup beranggapan musim tengkujuh adalah musim untuk mereka 'berpesta' di perairan negara," katanya kepada pemberita pada program pertemuan APMM Kelantan bersama penduduk di Pulau Muara Sungai Kelantan untuk persiapan banjir di sini hari ini.

Program itu membabitkan kira-kira 2,400 masyarakat nelayan di 10 buah pulau sekitar muara Sungai Kelantan bagi memberi nasihat berhubung persiapan banjir, tunjuk ajar penggunaan bot yang selamat serta beberapa aspek keselamatan lain.

"Kita dapati masih ramai nelayan menggunakan bot tanpa mengutamakan keselamatan termasuk tidak menggunakan jaket keselamatan. Melalui program ini kita harap mampu memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada mereka terutama ketika berhadapan dengan musim banjir," katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah solat Jumaat bersama penduduk pulau dan majlis sambutan Maulidur Rasul.

Dalam pada itu Muhd Nur Syam Asmawie berkata, cuti semua 132 anggotanya telah dibekukan bermula 1 November sehingga berakhirnya musim tengkujuh sebagai persiapan menghadapi bencana alam.

Sebahagian anggota telah ditugaskan untuk membantu agensi pengurusan bencana yang lain manakala sebahagian lagi menjalankan tugas hakiki penguatkuasaan di perairan negara secara bergilir.

"Kita akan cuba membantu agensi pengurusan bencana sebaik mungkin menggunakan aset yang ada selain menempatkan anggota di kawasan tertentu yang memerlukan bantuan pihak kami," katanya.

APMM mempunyai dua buah kapal, empat buah bot dan beberapa pacuan empat roda yang akan dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang musim banjir. - Bernama