Rafizi tidak mahu aktif politik

Rafizi (tengah) ketika ditemui media di luar mahkamah hari ini.
Rafizi (tengah) ketika ditemui media di luar mahkamah hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli tidak berminat untuk kembali menyertai politik atau menyandang sebarang jawatan penting dalam kerajaan buat masa ini.

Menurutnya, beliau mahu berehat dalam tempoh dua hingga empat tahun menjadi orang biasa serta menumpukan kepada keluarga kerana banyak masa dihabiskan ketika aktif politik.

"Sebenarnya mana-mana ahli politik tidak kira Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) jika menang, kehidupan mereka tidak seperti orang biasa dan terpisah dari dunia sebenar dan ada ketikanya lupa daratan.

"Jadi pada zaman PH berkuasa ini, biarlah saya luangkan masa untuk diri sendiri dan keluarga serta berehat daripada politik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan Rafizi terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Keputusan itu dibuat selepas Rafizi membuat rayuan terhadap sabitan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 7 Februari lalu selepas didapati bersalah mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa turut membebaskan seorang kerani bank, Johari Mohamad, atas sabitan dan hukuman sama ke atasnya.

Sementara itu, ditanya jika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bantuannya dalam usaha memantapkan kerajaan, Rafizi berkata, itu hak Anwar dan pihak berkenaan sudah mengetahui sebab beliau menyertai politik sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya misi kita 10 tahun lalu mahu tukar kerajaan dan bukan untuk menentang kerajaan terdahulu. Lagipun tukar kerajaan bukan penamat dunia dan kita telah buktikan kerajaan PH mampu.

"Tapi memang buat masa ini biarlah saya dan beliau (Anwar) yang bincang berkenaan hal ini walau apa pun keputusannya. Buat masa ini biarlah saya menjadi kawan dan bukan atas dasar politik," katanya.