Maqis rampas halia, daun limau tidak sah

Anggota Maqis sedang memeriksa lori yang membawa kedua-dua keluaran pertanian tanpa dokumen yang sah, Isnin lalu. Gambar kanan: Halia yang dirampas oleh Maqis akan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai yang telah ditetapkan.
Anggota Maqis sedang memeriksa lori yang membawa kedua-dua keluaran pertanian tanpa dokumen yang sah, Isnin lalu. Gambar kanan: Halia yang dirampas oleh Maqis akan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai yang telah ditetapkan.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya menggagalkan cubaan sebuah lori membawa masuk halia dan daun limau tidak sah dari negara jiran.

Pengarah Maqis Kedah, Lily Rosalind berkata, barang itu dirampas selepas pemeriksaan ke atas lori terbabit kira-kira jam 11.30 malam Isnin lalu.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan cuba membawa masuk halia sebanyak 208.5 kilogram (kg) dan daun limau sebanyak 32kg tanpa dokumen yang sah.

"Keseluruhan keluaran pertanian itu dianggarkan bernilai RM1,200. Anggota Maqis telah merampas kesemuanya untuk dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai yang telah ditetapkan," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah adalah salah di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Pesalah boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, penahanan konsainan itu bertujuan mengekang kemasukan serangga perosak yang akan menyebabkan industri pertanian terjejas.

"Keadaan ini boleh menyebabkan pengusaha tanaman pertanian menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit tidak dikawal.

Artikel Berkaitan:

"Akta 728 juga diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan atau tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat mengawal kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara," katanya.