Felda saman Isa Samad, Shahrir

Mohd Isa dan Shahrir
Mohd Isa dan Shahrir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya memfailkan saman terhadap dua bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad, syarikat pemaju hartanah Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) serta 18 yang lain untuk mendapatkan perintah bagi membatalkan dengan serta-merta semua instrumen pindah milik tanah di Jalan Semarak.

Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) selaku plaintif memfailkan saman itu melalui e-filing Mahkamah Tinggi Sivil di sini menerusi firma guaman Lee Hishammuddin Allen & Gledhill dengan menamakan 21 mereka sebagai defendan.

Antara yang dinamakan sebagai defendan ialah ialah bekas Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad; bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC Mohd Zaid Abdul Jalil; Pengarah SPSB Abd Rahman Soltan dan Noraini Soltan; SPSB dan Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (SPKLVC); bekas Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada; bekas Pengarah Besar Felda Datuk Ab Ghani Mohd Ali; bekas Pengarah Tanah Felda Shahrizal Mohd Saleh dan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam writ saman dan penyataan tuntutannya, Felda memohon perintah untuk mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan membatalkan dengan serta-merta semua instrumen pindah milik tanah Semarak Felda daripada agensi itu kepada SPSB dan SPKLVC dalam tempoh 30 hari dari tempoh perintah tersebut.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa Surat Tawaran FIC, Surat Tawaran Felda, Perjanjian Pembangunan, Surat Kuasa Wakil, Perjanjian Sewa, empat Perjanjian Sewa Beli dan Memorandum Persefahaman tidak boleh dikuatkuasakan, batal atau tidak sah.

Dalam saman itu, Felda dan FIC menuntut ganti rugi dan pampasan terhadap kesemua defendan untuk pelanggaran kewajipan fidusiari yang ditanggung terhadap Felda iaitu ganti rugi berjumlah RM1.062 bilion bagi nilai komersial tanah Semarak yang boleh diterima secara langsung daripada jualan tanah berkenaan.

Turut dimohon, antaranya pampasan dalam ekuiti untuk kerugian peluang komersial berjumlah RM562 juta sekiranya Felda menerima “MGR” berjumlah RM500 juta daripada Perjanjian Pembangunan itu.

Ia juga menuntut pampasan dalam ekuiti atas segala kos dan perbelanjaan yang akan ditanggung untuk merobohkan struktur yang dibina oleh SPSB dan untuk mengembalikan semula tanah kepada keadaan asal.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua plaintif turut menuntut ganti rugi RM1.5 bilion bagi keseluruhan liabiliti sewa di bawah Perjanjian Sewa jika ia tidak diketepikan, ganti rugi RM2.062 bilion selain menuntut ganti rugi bagi nilai komersial 17 lot tanah yang kononnya dijual di bawah empat Perjanjian Sewa Beli itu serta kos. - Bernama