Hong Kong, bilakah akan bertemu damainya?

Ratusan ribu penduduk Hong Kong keluar berhimpuan sejak awal Jun lalu. Foto AFP
Ratusan ribu penduduk Hong Kong keluar berhimpuan sejak awal Jun lalu. Foto AFP
A
A
A

[VIDEO] RATUSAN ribu rakyat Hong Kong keluar ke jalanan sejak awal Jun lalu. Mereka membantah satu rang undang-undang yang dianggap kontroversi dan tidak popular.

Selepas lebih lima bulan ternyata perhimpunan itu lebih daripada sebuah rang undang-undang.

Ia berkenaan status masa depan Hong Kong, sistem demokrasi, kebebasan bersuara dan sudah tentunya isu campur tangan China.

Namun, percaya atau tidak, bantahan berbulan-bulan lamanya ini bermula dengan satu kejadian iaitu pembunuhan!

Berdasarkan laporan media Hong Kong, pada 8 Februari tahun lalu, sepasang kekasih dari Hong Kong, Chan Tong Kao dan teman wanitanya, Poon Hiu Wing bercuti ke Taiwan.

Namun, sembilan hari kemudian, rakaman sistem televisyen litar tertutup di sebuah hotel mendapati Tong Kao meninggalkan hotel tersebut dan pulang ke Hong Kong seorang diri.

Hanya sebulan kemudian Tong Kao akhirnya mengaku membunuh kekasihnya yang sedang hamil sewaktu bercuti di Taiwan.

Di sinilah segalanya bermula.

Artikel Berkaitan:

Kebanyakan peserta perhimpunan mengenakan topeng untuk mengelakkan wajah mereka dikesan pihak berkuasa. Foto Zamri Rambli
Kebanyakan peserta perhimpunan mengenakan topeng untuk mengelakkan wajah mereka dikesan pihak berkuasa. Foto Zamri Rambli

Rang Undang-Undang Ekstradisi

Tong Kao tidak boleh didakwa di Taiwan kerana Hong Kong tidak mempunyai Rang Undang-Undang Ekstradisi dengan negara itu.

Ini menyebabkan kerajaan Hong Kong sejak awal tahun mengusahakan satu Rang Undang-Undang Ektradisi.

Namun, 'masalahnya' Rang Undang-Undang itu turut membolehkan seseorang suspek dari Hong Kong dihantar ke China dan Macau.

Anggota polis mempertahankan kawasan Lan Kwai Fong baru-baru ini. Foto Zamri Rambli
Anggota polis mempertahankan kawasan Lan Kwai Fong baru-baru ini. Foto Zamri Rambli

Bagaimanapun, pemimpin pro-demokrasi dan anak-anak muda di Hong Kong melihat akta tersebut akan menyekat kebebasan yang dinikmati selama ini terutamanya sewaktu di bawah pentadbiran British.

"Kerajaan Hong Kong telah menjadi semakin autoritarian. Ramai orang, terutamanya orang muda semakin kecewa," kata Ahli Parlimen pro-demokrasi Hong Kong, Claudia Mo kepada AFP.

Secara teknikalnya Hong Kong memang sebahagian dari China selepas diserahkan oleh British pada tahun 1997.

Namun, ‘satu negara dengan dua sistem pemerintahan itu’ melalui satu hubungan yang rumit dan sistem pemerintahan yang berbeza.

Maka tidak hairanlah, bantahan terhadap campur tangan Beijing ke atas pentadbiran Hong Kong menyebabkan protes jalanan telah berlangsung beberapa kali sejak lebih 21 tahun lalu.

Peserta rusuhan turut membakar kayu dan objek di jalan sekitar Mong Kok, Hong Kong baru-baru ini. - Foto Md Adib Md Yunos
Peserta rusuhan turut membakar kayu dan objek di jalan sekitar Mong Kok, Hong Kong baru-baru ini. - Foto Md Adib Md Yunos

Namun, berbeza dengan perhimpunan pada tahun 2003 dan gerakan payung pada 2014, perhimpunan kali ini menjadi perhimpunan paling panjang dalam era melineal Hong Kong.

Selepas lebih lima bulan, tiada tanda-tanda kumpulan yang menggelar diri mereka pro-demokrasi itu akan berdamai.

Rusuhan malam Halloween

Penulis yang kebetulan berada empat hari di Hong Kong untuk satu seminar baru-baru ini, mendapati rata-rata pada hari bekerja

Isnin hingga Jumaat penduduk Hong Kong menjalani kehidupan seperti biasa. Suasana aman dan selamat.

Namun kawasan ibu kota Hong Kong akan bertukar 'wajah' pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Kumpulan peserta juga akan memilih hari-hari perayaan tertentu untuk mengadakan rusuhan.

Pada hari ketiga penulis berada di Hong Kong, khabar angin mengenai rusuhan yang akan diadakan sempena sambutan malam Halloween mula bertebaran.

Penganjur seminar di hotel penulis turut mengeluarkan amaran kepada kami yang rata-rata kumpulan media luar negara untuk mengelakkan kawasan ibu kota yang dikhuatiri berlaku rusuhan.

Pasukan polis membuat sekatan ke atas peserta perhimpunan yang mahu berkumpul di kawasan Lan Kwai Fong, Hong Kong baru-baru ini. - Foto Zamri Rambli
Pasukan polis membuat sekatan ke atas peserta perhimpunan yang mahu berkumpul di kawasan Lan Kwai Fong, Hong Kong baru-baru ini. - Foto Zamri Rambli

Beberapa rakan media dari Malaysia turut bercadang untuk bergerak ke sana, sama ada ke kawasan daerah Lan Kwai Fong, Victoria Park, Mong Kok atau Tsim Sha Tsui.

Bagaimanapun, penulis memilih pergi sendirian ke Lan Kwai Fong untuk memudahkan pergerakan.

Tepat jam 6 petang, penulis sudah menaiki tren MTR menuju ke Lan Kwai Fong. Di dalam MTR, beberapa kali pengumuman dibuat mengenai operasi MTR ke beberapa kawasan berisiko rusuhan akan ditamatkan seawal jam 9 malam.

Sebaik sampai di Lan Kwai Fong, penulis mendapati lokasi tersebut rupa-rupanya satu kawasan yang menempatkan pusat-pusat hiburan dan bar.

Sekitar jam 7 petang, kawasan tersebut meriah dengan pengunjung yang rata-rata hadir untuk sambutan Halloween. Tidak terkecuali kumpulan wartawan Hong Kong dan antarabangsa juga sudah mula berkampung di sana.

Menjelang jam 9 malam, daerah Lan Kwai Fong mula padat. Ribuan peserta rusuhan mula membanjiri Lan Kwai Fong.

Pertambahan jumlah perusuh menyebabkan pasukan polis mula membuat sekatan di tengah-tengah simpang empat kawasan itu. Rempuhan dan tolak-menolak mula berlaku antara kumpulan perusuh dengan polis.

Sekatan dibuat polis berjaya mengelakkan lebih ramai perusuh masuk ke kawasan tersebut. Namun, perusuh sedia ada tidak berganjak dan mula membuat provokasi serta melontarkan objek terutamanya botol air.

Jam 10 malam, keengganan peserta himpunan bersurai menyebabkan polis mula mengeluarkan beberapa arahan melalui pembesar suara. Beberapa minit kemudian beberapa wartawan tempatan di sebelah penulis tiba-tiba mengenakan topeng muka gas.

Kumpulan perusuh juga sudah mula bertempiaran lari menyelamatkan diri. Tiba-tiba muka penulis mudah mula terasa pedih seperti terkena cili pedas. Tekak juga mula perit dan hidung berair

Sebahagian besar penduduk Hong Kong terutamanya orang muda membantah Rang Undang-Undang Ekstradisi. Foto AFP
Sebahagian besar penduduk Hong Kong terutamanya orang muda membantah Rang Undang-Undang Ekstradisi. Foto AFP

Penulis tiada pilihan lain, selain daripada turut lari dari kawasan tengah Lan Kwai Fong. Sewaktu cuba menyelamatkan diri itu, beberapa meter di depan penulis seorang pekerja kedai bar memanggil penulis berlindung di kedainya sebelum dia menutup pintu kedainya.

Ya, penulis diselamatkan pekerja bar itu yang kemudian turut memberikan sebotol air mineral untuk membasuh muka dan membasahkan tekak.

Rupa-rupanya selepas 20 minit, peserta rusuhan kembali berhimpun dan kembali melakukan provokasi terhadap pihak polis.

Menuju ke tengah malam, penulis tiada pilihan lain untuk meninggalkan kawasan perhimpunan kerana tiada pengangkutan awam lain untuk pulang ke hotel kecuali teksi. Ya, harga teksi yang biasanya cuma sekitar RM60, melonjak sehingga RM185 pada malam rusuhan tersebut.

Memasuki bulan keenam, walaupun Rang Undang-Undang Ekstradisi sudah ditarik balik, belum kelihatan bibit-bibit aman di Hong Kong. Persoalannya, dengan beberapa siri rusuhan terbaru yang semakin ganas, bilakah Hong Kong akan bertemu damainya?