Isu peralihan kuasa tak pernah dibincang bersama Tian Chua, kata Prabakaran

Tian Chua dan Prabakaran
Tian Chua dan Prabakaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Desakan 14 badan bukan kerajaan (NGO) yang meminta P Prabakaran melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Batu diterima secara positif oleh pemimpin muda itu.

Prabakaran berkata, laporan desakan untuk memberi laluan kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu tidak menjejaskan tugas sehariannya sebagai Ahli Parlimen Batu.

Menurutnya, isu peletakan jawatan dan peralihan kuasa itu tidak pernah dibincangkan bersama Tian Chua.

"Tian Chua terkenal sebagai seorang aktivis yang aktif sejak permulaan semangat reformasi. Beliau tidak pernah mendesak saya dalam apa jua isu dan tidak pernah berunding secara terus dengan saya mengenai tugasan.

"Beliau juga tidak pernah meminta saya melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen selepas pilihan raya ataupun selepas keputusan mahkamah yang menyebelahinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya cuba mendapatkan maklumat dan pengesahan daripada beberapa NGO terlibat susulan penularan berita itu.

"Ada nama NGO yang disenarai pernah saya bantu secara langsung, ada juga NGO yang disenarai memaklumkan kenyataan yang dikeluarkan itu adalah pandangan individu dan tidak mewakili NGO terlibat.

"Saya berinteraksi dengan pengundi saya setiap hari, mereka memang inginkan seorang pemuda yang bersemangat untuk membantu menyelesaikan masalah yang mereka lalui selama ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau tekad memberikan penyelesaian terbaik dalam beberapa isu yang sedang ditumpukan sekarang.

"Masalah mereka sedang saya selesaikan secara beransur-ansur. Saya ingin menyumbangkan tenaga dan usaha untuk kebaikan parti serta merealisasikan agenda reformasi

"Saya akan berkhidmat untuk rakyat secara telus dan adil tanpa melepaskan mereka di pertengahan jalan," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan desakan 14 NGO yang meminta Prabakaran melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu selama dua penggal bertanding dalam PRK.

Ia susulan Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu memutuskan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah.

ARTIKEL BERKAITAN Prabakaran disaran letak jawatan