X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat Malaysia diminta tangguh perjalanan ke Bolivia

Bolivia terjerumus dalam kancah kekacauan apabila penunjuk perasaan membantah keputusan pilihan raya presiden pada Oktober lalu yang menyaksikan Evo Morales mengumumkan kemenangannya untuk penggal keempat.
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang merancang melancong ke Bolivia dinasihatkan menangguhkannya berikutan keadaan keselamatan dan ketegangan politik di negara Amerika Selatan itu.

Pegawai Konsular kedutaan Malaysia di Peru, Syed Ahmad Naufal Syed Isa, dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan rekod kedutaan tiada rakyat Malaysia yang menetap di Bolivia pada masa ini.

"Kami menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan niat mereka untuk ke Bolivia buat masa ini, sehingga keadaan di Bolivia kembali tenang," katanya melalui e-mel kepada Bernama.

Bolivia terjerumus dalam kancah kekacauan apabila penunjuk perasaan membantah keputusan pilihan raya presiden pada Oktober lalu yang menyaksikan Evo Morales mengumumkan kemenangannya untuk penggal keempat.

Morales kemudian dipaksa meletak jawatan pada Ahad selepas menerima tekanan daripada pihak tentera dan polis.

Pada Selasa beliau tiba di Mexico selepas diberikan suaka politik. Naib Speaker Kedua Senat, Jeanine Anez, mengumumkan dirinya sebagai presiden sementara.

Lantaran pergolakan itu, nasihat perjalanan dikeluarkan oleh kedutaan United Kingdom dan Amerika Syarikat di Bolivia.

Syed Ahmad Naufal berkata, kedutaan telah dimaklumkan oleh Konsul Kehormat Thailand di Bolivia, bahawa semua aktiviti di negara ini telah lumpuh dengan kebanyakan jalan-jalan ditutup selain beberapa penerbangan dibatalkan.

Katanya, seorang rakyat Malaysia dilaporkan sedang dalam perjalanan ke Bolivia dan telah dikenal pasti serta menghubungi kedutaan Malaysia melalui e-mel.

"Dia dinasihatkan terus kekal di sana dan kini tinggal di sebuah hotel di Bolivia. Dia diminta menghubungi kedutaan jika berlaku sebarang kecemasan," katanya.

Malaysia tidak mempunyai kedutaan di Bolivia. Justeru, Kedutaan Malaysia di Peru ditauliahkan serentak ke Bolivia. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus