Terengganu mungkin hentikan projek bebas cukai di Tasik Kenyir

Pembinaan kawasan bebas cukai Pulau Bayas setakat ini sudah mencapai tahap 77 peratus melibatkan kos kira-kira RM200 juta.
Pembinaan kawasan bebas cukai Pulau Bayas setakat ini sudah mencapai tahap 77 peratus melibatkan kos kira-kira RM200 juta.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu hari ini membayangkan kemungkinan tidak meneruskan projek pembangunan Pulau Bayas di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai zon bebas cukai atas beberapa faktor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan perlu mengambil satu tindakan jelas berikutan kegagalan kontraktor menyiapkan projek itu.

Bagaimanapun katanya, pengumuman mengenai keputusan itu akan dibuat selepas ia dibawa ke mesyuarat Exco nanti.

“Kita sebenarnya sedang draf kertas untuk dibawa masuk ke dalam mesyuarat Exco sama ada kita mahu tamatkan terus atau tidak. Kita memang sudah ada keputusan tapi tidak boleh diumumkan lagi.

“Projek ditangguh kerana kontraktor tidak mampu menyiapkannya dan ada kemungkinan ia akan ditamatkan terus,” katanya selepas hadir merasmikan Festival Batik Ganu Kite di Noor Arfa Craft Complex (NACC) Batik Pavilion, Chendering hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengerusi Eksekutif, Noor Arfa Holding Sdn Bhd, Wan Mohd Ariffin Wan Long.

Ariffin (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna batik kategori tadika sempena Festival Batik Ganu Kite di Noor Arfa Craft Complex (NACC) Batik Pavilion, Chendering hari ini.
Ariffin (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna batik kategori tadika sempena Festival Batik Ganu Kite di Noor Arfa Craft Complex (NACC) Batik Pavilion, Chendering hari ini.

Menurutnya, pembinaan kawasan bebas cukai Pulau Bayas setakat ini sudah mencapai tahap 77 peratus melibatkan kos kira-kira RM200 juta.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu Ariffin mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat memajukan semula kawasan bebas cukai Pulau Bayas sekiranya kerajaan memutuskan untuk menamatkan terus projek itu nanti bagi mengelak pembaziran.

“Kita menawarkan mana-mana pemain yang berminat untuk ambil alih Pulau Bayas datang jumpa saya bersama proposal, kita akan tengok dan nilai,” katanya.

Kerajaan Terengganu sebelum ini dilaporkan sedang menimbangkan sama ada menerus atau menamatkan projek Zon Bebas Cukai Pulau Bayas di Tasik Kenyir selepas ia tergendala selama dua tahun.

Satu jawatankuasa khas ditubuh dan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamat Puteh bagi menyelesaikan isu itu.