Kilang sawit didenda RM40,000 sebabkan kemalangan pekerja

No Image Caption
A
A
A

TELUK INTAN - Sebuah kilang sawit didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini kerana gagal memastikan keselamatan sehingga berlaku kemalangan kepada salah seorang pekerjanya pada April lalu.

Hakim Norita Ahmad Ardani menjatuhkan hukuman itu ke atas ST Palm Oil Mill Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Ang Eng Cheng, 40.

Eng Cheng mengaku bersalah atas dakwaan gagal mengadang dengan sempurna pada bahagian terbuka jentera ‘short fibre conveyor’.

Tindakan itu didakwa menyebabkan kemalangan kepada pekerja warga Bangladesh, Md Delowar Peda, 41, di kilang terbabit pada jam 5.30 petang, 11 April 2019.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Mudzaffar Anwar Hussin dilakukan mengikut Seksyen 15 Akta Kilang dan Jentera 1967.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 51(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, mangsa merupakan pekerja bahagian penyelenggaraan sedang membantu mengorek fiber yang tersumbat namun, seorang operator telah menghidupkan jentera itu hingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya tersepit.

Mangsa berjaya dikeluarkan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan. Mangsa disahkan meninggal dunia pada 1 Mei lalu.

Artikel Berkaitan: