Penternak didenda RM2,000 sembelih babi secara haram

Tertuduh (tengah) selepas dibawa ke mahkamah Shah Alam hari ini.
Tertuduh (tengah) selepas dibawa ke mahkamah Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penternak didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan menyembelih haiwan ternakan babi di kawasan penyembelihan tidak sah pada Januari lalu.

M Nadarajan, 47, selaku orang kena saman (OKS) mengaku salah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Dia didakwa melakukan perbuatan demikian pada 29 Januari lepas pada jam 9.30 malam di dalam kawasan bangsal yang tidak mempunyai kelulusan sah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Bagi kes OKS, dia didapati menyembelih haiwan ternakannya di luar rumah penyembelihan dan mengakibatkan ia tidak diperiksa dan diragui kesihatan ternakan berkenaan.

Kesalahan berkenaan boleh menyebabkan penularan wabak penyakit Zoonotik iaitu penyakit jangkitan dari haiwan yang boleh dipindahkan kepada manusia.

Berdasarkan fakta kes dalam serbuan itu juga turut dirampas karkas babi seberat 281 kilogram.

Jika sabit kesalahan, Nadarajan yang didakwa atas kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Veterinar, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala Nadarajan tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Tuan Anuar dalam pendakwaannya memohon hukuman berat terhadap OKS yang dapat memberi pengajaran terhadapnya dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Tuan Anuar juga menegaskan tindakan OKS menyalahi undang-undang dan boleh mengundang penularan penyakit Zoonotik iaitu penyakit yang boleh membawa kepada jangkitan kepada haiwan lain dan turut berisiko menjejaskan kesejahteraan awam.