Ribuan penduduk, pelancong bergelap angkara ribut Pabuk

Dua kanak-kanak di pusat pemindahan duduk berteman cahaya lilin susulan ribut tropika Prabuk yang melanda wilayah selatan Thailand, Nakhon Si Thammarat. - FOTO AFP
Dua kanak-kanak di pusat pemindahan duduk berteman cahaya lilin susulan ribut tropika Prabuk yang melanda wilayah selatan Thailand, Nakhon Si Thammarat. - FOTO AFP
A
A
A

BANGKOK - THAILAND. Hampir 30,000 penduduk tempatan dan pelancong berlindung di pusat pemindahan sementara di selatan Thailand, ketika ribut tropika Pabuk melanda wilayah terbabit, sejak Jumaat lalu.

Pelancong yang terkandas berusaha keluar dari pulau pelancongan terbabit hari ini, ketika ribut tropika itu mula reda dan bergerak menuju ke Laut Andaman.

Pabuk yang bergerak pada kelajuan 75 kilometer sejam, membawa hujan lebat dan angin kencang ke selatan Thailand, menjejaskan bekalan elektrik serta mengakibatkan banjir di beberapa kawasan.

Seorang nelayan disahkan terkorban di wilayah Pattani, apabila ombak besar memusnahkan botnya, manakala seorang lagi dilaporkan hilang.

Pada masa sama, ribut tropika itu menyebabkan ramai pelancong terkandas di pulau pelancongan Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao selepas lapangan terbang ditutup, manakala perkhidmatan feri ke tanah besar dibatalkan.

“Setakat ini tiada laporan kematian diterima dan saya yakin pelancong boleh meninggalkan semua pulau pelancongan terbabit kerana perkhidmatan feri serta lapangan terbang sudah kembali beroperasi,” kata ketua daerah Koh Samui, Kittipop Roddon.

Bagaimanapun, amaran merah masih dikeluarkan, sekali gus melarang orang ramai daripada berenang di kawasan pantai.

Sementara itu, kira-kira 200,000 penduduk terpaksa bergelap selepas puluhan tiang elektrik tumbang akibat angin kencang atau ditimpa pokok.

Artikel Berkaitan:

“Kira-kira 30,000 penduduk masih terputus bekalan elektrik hingga awal pagi tadi,” kata Jabatan Perlindungan dan Kawalan Bencana. - AFP