X

Kindly register in order to view this article
!

Pelaburan dalam data kajian ramalan, suntik semangat mobiliti dalam pendidikan

Maszlee - Foto fail
A
A

PARIS - Malaysia berusaha untuk memasukkan semangat mobiliti dalam pendidikan, antara lain, dengan melabur dalam data kajian ramalan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, ia adalah antara tiga strategi utama dilaksanakan Malaysia untuk berkedudukan setara dengan landskap pendidikan tinggi yang pantas berubah.

“(Justeru), Malaysia juga melakukan banyak pelaburan dalam data kajian ramalan membabitkan mobiliti pelajar dan kebolehpasaran menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang diambil daripada pelbagai pangkalan data kerajaan dan industri serta aplikasi,” katanya.

Maszlee berkata demikian dalam nota intervensi semasa Mesyuarat Menteri mengenai Kemasukan dan Mobiliti dalam Pendidikan Tinggi pada sesi ke-40 Persidangan Am Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di sini.

Intervensi Menteri Pendidikan dan pemimpin Institusi Pengajian Tinggi dari negara anggota UNESCO yang lain adalah sebahagian daripada sesi pleno bertajuk ‘Mobiliti dalam Pendidikan Tinggi’, bertujuan memulakan kampus global menerusi mobiliti pelajar dan fakulti, program pendidikan inovatif dan penyampaian modaliti.

Pengarah Institut Antarabangsa UNESCO bagi Pendidikan Tinggi di Amerika Latin dan Caribbean (ISEALC) Francesc Pedro menjadi perantara dalam sesi itu.

Maszlee, yang melakukan lawatan kerja enam hari ke ibu negara Perancis berkata, selaku Pengerusi Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara, strategi utama kedua Malaysia adalah mewujudkan perkongsian yang kukuh dalam lingkungan negara anggota ASEAN dan negara lain seperti Jepun, Afrika, Amerika Utara dan Selatan serta Eropah.

"Tumpuan di sini adalah untuk mewujudkan platform bagi pertumbuhan modal pendidikan, bakat dan sumber penyelidikan," katanya.

Seterusnya, kata Maszlee, Malaysia meletakkan matlamat untuk menjadi ‘Paris of Intellectualism' atau ‘Andalusia of Scholarly Life’ dengan para sarjana serta pelajar bertumpu di negara ini.

"Bagi memastikan penyuburan silang idea dan kepakaran, terdapat usaha bersungguh-sungguh untuk mengeluarkan pelbagai halangan kepada mobiliti, satu daripadanya membabitkan semakan semula undang-undang dan peraturan bagi sarjana serta pelajar antarabangsa untuk belajar dan mengadakan penyelidikan di universiti serta institusi di Malaysia," katanya.

Katanya, Malaysia berkembang untuk menjadi sebuah pusat pengetahuan antarabangsa, selaras dengan perubahan globalisasi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Konvensyen Global mengenai Pengiktirafan Kelayakan dalam Pendidikan Tinggi oleh UNESCO adalah perangsang bagi perkara itu dan sejajar dengan Rangka Kerja Kelayakan Malaysia (MQF), yang akan mempermudahkan lagi proses kemasukan ke universiti di dalam dan luar Malaysia.

"Mobiliti pelajar dan sarjana merupakan komitmen utama kami. Paling penting, kami memperakukan kepelbagaian dalam pendapat dan peluang bagi semua. Kami percaya mobiliti akan menjadi lancar sekiranya manusia mengakui perbezaan satu sama lain dan menghargai kepelbagaian.

Menurut Maszlee, kerajaan Malaysia berusaha ke arah memastikan pendidikan tidak hanya meningkatkan mobiliti rentas sempadan, tetapi juga mobiliti dalam lingkungan domain tertentu, di negara masing-masing.

"Bagi kami, pendidikan adalah penyamarata yang dapat membawa mobiliti sosial. Bagi tujuan ini, nilai yang membentuk nukleus pendidikan mestilah merupakan rasa kasih, gembira dan saling menghormati.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus