TMJ serah insentif juara Piala Malaysia untuk pembersihan sungai

Tunku Ismail bersama skuad Harimau Selatan meraikan kejayaan muncul juara Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2 November lalu.
A
A

JOHOR BAHRU - Pemangku Raja, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan semula sumbangan sebanyak RM500,000 dari kerajaan negeri kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2019 bagi tujuan pembersihan sungai-sungai di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, insentif itu diberikan kepada skuad Harimau Selatan sebagai dorongan dan pemangkin semangat atas komitmen yang ditunjukkan JDT sehingga berjaya menjulang Piala Malaysia pada 2 November lalu.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, Tunku Ismail yang juga pemilik JDT berkenan mengurniakan semula insentif tersebut kepada kerajaan negeri Johor.

"Kurniaan semula ini adalah bagi menampung pembelian bot pengutip sampah untuk tujuan pembersihan sungai di Johor demi melestarikan alam sekitar dan mengatasi masalah pencemaran yang berlaku.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan di atas keprihatinan Tunku Ismail," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

JDT dinobatkan selaku juara Piala Malaysia selepas membenam Kedah 3-0 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sekali gus mendakap tofi berprestij itu buat kali kedua selepas edisi 2017.