Jangan hina tapi bimbing remaja basikal lajak

Gambar hiasan
A
A

BARANGKALI ramai yang memperlekehkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa kementeriannya sedang melatih kanak-kanak dan remaja yang bermain basikal lajak, dengan harapan melahirkan pelapis dan jaguh sukan basikal bagi mewakili Malaysia pada masa depan.

Syed Saddiq berkata, hobi remaja basikal lajak boleh diubah menjadi sesuatu yang positif dan bermanfaat tanpa mendiskriminasikan dan mengetepikan mereka.

Merak Jalanan tidak menganggap kenyataan Syed Saddiq itu sebagai satu retorik atau sembang kosong tetapi melihat dalam ruang yang luas dan lebih jauh ke hadapan.

Generasi muda yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak perlu diberi bimbingan bagi menjadikan mereka insan yang berjaya dan bukan dihukum kerana terlibat dengan kegiatan tersebut.

Bahkan Merak Jalanan berasakan bahawa golongan tersebut mempunyai potensi seperti keberanian, kecerdasan, kreativiti dan sebagainya yang boleh disalurkan ke medium yang lebih berfaedah dan bermanfaat.

Merak Jalanan pernah terbaca kisah pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh yang mengakui pernah terlibat dalam aktiviti berbahaya itu sebelum menjadi pelumba bertaraf antarabangsa.

Mohd Harrif, 31, berkata, pada sekitar 1998, Terengganu terkenal dengan perlumbaan basikal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja tetapi ketika itu ia dipanggil ‘geng basikal nyamuk’.

Mohd Harrif, yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2017 dan kini menjadi pakar pecut dalam pasukan TSG berkata, bakatnya dilihat oleh beberapa individu yang bertanggungjawab menjejak pelumba-pelumba basikal untuk diasah menjadi profesional.

Justeru, daripada suka menghukum lebih baik masyarakat membimbing dan membantu generasi muda itu agar mereka berjaya.