Guan Eng tak kecam penjawat awam, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi Utama PH di Rambah, Pontian petang tadi. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi Utama PH di Rambah, Pontian petang tadi. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengecam penjawat awam dalam satu siri ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sini dua hari lalu.

Beliau turut mengakui tidak menonton lagi klip video ucapan Guan Eng berkenaan tetapi yakin beliau tidak mengkritik mana-mana penjawat awam.

Muhyiddin berkata, pihaknya difahamkan kenyataan Guan Eng, diutarakan dalam bahasa Mandarin sekadar meminta penjawat awam memberikan kerjasama dalam meneruskan dasar pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, pihaknya memahami kebanyakan penjawat awam, baik di peringkat Pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) belum dapat mengikuti apakah dasar-dasar kerajaan PH berbanding Barisan Nasional (BN).

"Sebab itu saya anggap mesej disampaikan Guan Eng lebih kepada memberi makluman kepada penjawat awam terhadap kepentingan bekerjasama menjayakan dasar PH.

"Saya (akui) belum tengok lagi video itu... Tetapi kalau tengok pun, tidak faham," katanya secara berseloroh pada sidang media di Bilik Gerakan Operasi Utama PH di Rambah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengatakan ceramah Guan Eng kepada pengundi Cina pada dua hari lalu menghentam penjawat awam.

Guan Eng turut dikatakan mendakwa penjawat awam cuba untuk menggagalkan rancangan 100 hari PH.

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga satu klip video ucapan Guan Eng yang berucap dalam bahasa Mandarin tersebar dan tular dalam media sosial turut dikongsi Puad Zarkashi kepada media.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merayu lebih 7,000 pengundi luar terutama yang bekerja di Singapura untuk balik mengundi pada pilihan raya kecil(PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 November ini.

Beliau turut yakin jumlah peratusan pengundi keluar mengundi PRK kali ini hampir 100 peratus berdasarkan suasana hangat kempen ditunjukkan semua calon bertanding ketika ini.