Isu klip video: MB Perak serah kepada penilaian Majlis Presiden PH

Ahmad Faizal (empat dari kanan) pada Sambutan Perayaan 100 Tahun Kelab Polo Iskandar di Iskandar Polo Club, Tambun hari ini.
Ahmad Faizal (empat dari kanan) pada Sambutan Perayaan 100 Tahun Kelab Polo Iskandar di Iskandar Polo Club, Tambun hari ini.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) bagi menilai penjelasan beliau berhubung klip video yang tular baru-baru ini.

Menurutnya, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad Isnin lalu, beliau telah menerangkan keseluruhan kenyataan dibuat dalam video terbabit.

"Saya dah terangkan sepenuhnya apa yang saya katakan dalam mesyuarat MPT parti, tentunya perkara itu akan dibawa ke Majlis Presiden PH kelak dan dari situ kita terima apa yang pucuk pimpinan parti akan katakan.

"Sebelum ini pun, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH sendiri sudah menyatakan tiada apa-apa tindakan selanjutnya... jadi saya serahkan kepada mereka buat keputusan lanjut," katanya kepada pemberita hari ini.

Media melaporkan bahawa Dr Mahathir memaklumkan tiada masalah dengan perbualan Ahmad Faizal dalam video berkenaan yang memerlukan tindakan diambil.

Ini kerana, Ahmad Faizal dalam perbualan itu hanya menerangkan kepada golongan nelayan bahawa walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP lebih ramai di Perak, namun beliau masih menjadi Menteri Besar yang menguasai kerajaan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Klip video MB Perak cetus tanda tanya

Saya disabotaj, kata MB Perak

Artikel Berkaitan:

DAP tuntut MB Perak beri penjelasan

Dalam video berdurasi lebih enam minit itu, Ahmad Faizal mendakwa berseorangan melawan pimpinan DAP dalam mempertahankan tanah Melayu dan agama Islam.

Beliau kemudiannya tampil menjelaskan kenyataannya yang dirakam ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai itu diambil di luar konteks.

Terdahulu, Ahmad Faizal ditemui merasmikan Sambutan Perayaan 100 Tahun Kelab Polo Iskandar di Iskandar Polo Club, Tambun.

Pengerusi Majlis Ekuin Malaysia, Tengku Syarif Temenggong Perlis Indera Kayangan, Dato Seri Diraja Syed Amir Abidin Tuanku Syed Putra Jamalullail turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Ahmad Faizal dalam ucapannya memuji inisiatif digerakkan kelab itu bersama National Autism Society of Malaysia (NASOM) yang sedang merancang menubuhkan Pusat Hippo Therapy sebagai terapi bagi kanak-kanak autism.

Selain itu katanya, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020, kelab itu juga telah mengatur pelbagai kejohanan tahun depan antaranya Kejohanan Polo Piala Patron, Piala Agung dan Pink Cup serta Pertandingan Memanah Berkuda Antarabangsa IPC dan IPC Centennial Horse Show dengan kerjasama Majlis Equine Malaysia.

"Kerajaan negeri amat mengalu-alukan penganjuran acara sukan bertaraf nasional dan antarabangsa bagi merancakkan lagi sektor pelancongan Perak.

"Bukan sahaja dapat memajukan sukan berkuda di negara ini tetapi juga dapat melakukan khidmat masyarakat membantu pesakit-pesakit autisme," katanya.