Saya disabotaj, kata MB Perak

Ahmad Faizal Azumu
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui beliau disabotaj berhubung kenyataan kontroversi beliau mengenai DAP ketika berkempen Tanjung Piai, Johor baru-baru ini.

Menurutnya, kenyataan itu diambil di luar daripada konteks yang sebenarnya.

"Saya telah memberi penjelasan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan saya tidak kisah untuk memberikan penjelasan mengenai diri saya juga," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat MPT Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Mengulas lanjut lanjut katanya, semua pihak seharusnya memberikan tumpuan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon PH, Karmaine Sardini.

"Semua pihak seharusnya fokus kepada PRK Tanjung Piai supaya calon kita (PH) untuk memastikan Haji Karmaine menang dan Ahli Parlimen," katanya.

Terdahulu tular sebuah klip video Ahmad Faizal mendedahkan beliau terpaksa berlawan dengan DAP di Perak.

Menerusi rakaman video itu Ahmad Faizal berkata, usaha yang dilakukan untuk mempertahankan tanah masyarakat Melayu dan agama Islam dilakukan berseorangan dengan bantuan rakan-rakan dalam UMNO.

Walau bagaimanapun menteri besar itu dalam satu kenyataan selepas itu menafikan beliau bermasalah dengan DAP di Perak.