'Kami belum terima pampasan'

Maziatuzna melihat foto Allahyarham suaminya ketika ditemui di Kampung Kodiang Lama Luar, Mukim Keplu semalam.
A
A

KODIANG - Keluarga Allahyarham Shahidan Saad, 52, yang maut dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September 2015 menepis dakwaan bahawa mereka merupakan 'orang kaya baharu'.

Isteri Allahyarham, Maziatunazna Bidin @Ibrahim, 47, berkata, mereka tidak menerima pampasan wang seperti yang disangka kebanyakan orang.

"Adakala apabila bertemu kenalan, mereka kata untunglah dapat duit banyak, sekarang sudah kaya dan senang sehingga membuatkan kami takut, sedangkan ia tidak benar.

"Sehingga kini kami belum menerima pampasan yang digembar-gemburkan, malah tidak tahu perkembangan terkini perkara tersebut," katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Kampung Kodiang Lama Luar di sini semalam.

Menurutnya, dia hanya berserah kepada rezeki dan ALLAH SWT sama ada akan menerima pampasan atas nahas meragut nyawa suami tercinta itu.

“Jika ada rezeki adalah, jika tiada kami reda. Jika ada pampasan tersebut, saya bercadang nak bawa Muhammad Afiq Amzar menziarahi kubur arwah bapanya di Tanah Perkuburan Maqbarah As-Shohada’ di Makkah.

“Dia sudah banyak kali menyuarakan hasrat mahu bertemu arwah ayahnya. Kadangkala ada orang bagi sedekah kepada anak dan dia cakap nak simpan duit untuk ke Makkah, sambil beribadat bolehlah lawat kubur arwah,” katanya.

Maziatunazna berkata, dia yang tidak bekerja bergantung kepada pencen Allahyarham suaminya sebagai pembantu makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Bendahara demi membesarkan anak mereka.

Menurutnya, dia dan anaknya yang kini sudah memasuki Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Kodiang sering merindui Allahyarham dan masih tidak dapat melupakannya sehingga kini.

Bagaimanapun katanya, meskipun masih terkenangkan arwah, dia reda dengan pemergian suaminya sejak empat tahun lepas.

"Gambar-gambar kenangan bersama arwah menjadi tempat kami anak beranak melepas rindu. Sampai koyak album sebab Afiq selalu tengok foto ayahnya," katanya.

Kelmarin, media melaporkan kerajaan Arab Saudi mengagihkan bayaran pampasan kepada keluarga 27 jemaah haji India yang terlibat dalam insiden kren tumbang di Masjidil Haram.

Dalam kejadian berkenaan, seramai 108 mangsa terbunuh dan 238 mangsa cedera apabila kren yang digunakan untuk menaik taraf Masjidil Haram tumbang.

Shahidan ialah antara tujuh rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian tersebut.

Rentetan tragedi malang itu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dilaporkan bersetuju membayar pampasan kepada semua mangsa yang terlibat.

Memetik laporan Saudi Press Agency, nilai pampasan dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu kepada jemaah meninggal dunia, jemaah cedera yang hilang keupayaan kekal dan jemaah yang hanya mengalami kecederaan biasa.

Bagi jemaah meninggal dunia dan jemaah yang hilang keupayaan kekal, mereka akan dibayar SR1 juta (RM1.18 juta) sementara kecederaan biasa pula akan diberi pampasan SR500,000 (RM588,976).

Pada Oktober 2017, mahkamah Makkah memutuskan semua mangsa kren tidak akan mendapat sebarang diyyah dan merumuskan kejadian itu berlaku disebabkan faktor alami serta bukan kecuaian manusia.