Turun taraf keselamatan udara Malaysia hanya libat penilaian CAAM

Ahmad Ridzwan (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Pejabat CAAM di sini hari ini.
Ahmad Ridzwan (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di Pejabat CAAM di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menurunkan taraf keselamatan udara Malaysia dari kategori satu ke kategori dua hanya melibatkan penilaian terhadap peranan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai pengawal selia.

Pengerusi CAAM, Kapten Ahmad Ridzwan Mohd Salleh berkata, ia sama sekali tidak melibatkan penilaian terhadap syarikat penerbangan, lapangan terbang atau perkhidmatan trafik udara di negara ini.

Menurutnya, meskipun penilaian itu hanya tertumpu kepada kepada fungsi dan peranan jabatan itu sebagai pengawal selia penerbangan, namun pihaknya memandang serius perkara itu.

"CAAM mengambil penilaian yang dibuat oleh FAA ini secara membina dan kami komited untuk mengambil perubahan serius dalam struktur dan operasi kami.

"Selain itu, CAAM juga akan memainkan peranan untuk menyumbang kepada pembangunan dan pengawasan penerbangan dengan kedudukan dalam Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) ketika ini," katanya pada sidang akhbar khas di Pejabat CAAM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan yang menyebut FAA telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia dari kategori satu ke kategori dua.

Mengulas lanjut, Ahmad Ridzwan mengakui wujud beberapa kelemahan dan berusaha menambah baik dari masa ke semasa.

Katanya, kali terakhir penilaian dibuat ke atas jabatan itu adalah pada tahun 2003.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Reuters melaporkan FAA telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia, melarang syarikat penerbangan negara itu daripada menambah penerbangan ke Amerika Syarikat (AS)

Menurut laporan itu, penarafan Malaysia telah diturunkan ke kategori dua.