Selamat daripada tali gantung

Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Seorang pendawai terselamat daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengetepikan sabitan ke atasnya kerana mengedar 998.9 gram methamphetamine dan menggantikan sabitan kesalahannya kepada memiliki dadah.

Cheah Swee Kok, 34, sebaliknya dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mendapatinya bersalah memiliki dadah.

Hukuman penjara itu bermula dari 20 Julai 2014, iaitu tarikh dia ditangkap.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam yang mempengerusikan panel berkenaan menegaskan bahawa sabitan ke atas Cheah kerana mengedar dadah adalah tidak kukuh.

“Terdapat merit dalam rayuan itu yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi," katanya.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Datuk Zabariah Mohd Yusof dan P Ravinthran.

Cheah merayu terhadap hukuman mati yang dijatuhi ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, Cheah didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah tokong Cina di Jalan Zamrud 9, Taman Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah pada 2.30 petang, 24 Julai 2014.

Peguam R S N Rayer, yang mewakilinya sebelum itu berhujah terdapat keraguan sama ada wujud rundingan bagi penjualan dadah itu antara Cheah dan seorang ejen provokasi kerana kedua-dua mereka hanya berjumpa sekali sahaja pada 24 Julai 2014.

Mengenai hukuman itu, beliau menggesa mahkamah supaya mengenakan hukuman penjara minimum ke atas Cheah, dengan berkata anak guamnya telah dipenjarakan sejak 2014.

"Dia belum pernah disabitkan kesalahan sebelum ini. Dia amat kesal, dan berterima kasih kepada mahkamah kerana mengetepikan hukuman mati,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke berkata kesalahan yang dilakukan Cheah adalah serius, dan menggesa mahkamah supaya mengambil kira berat dadah itu dalam menjatuhi hukuman. - Bernama