Bomba kaji keselamatan Pulau Pangkor

Azmi memeriksa perbarisan kehormat pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak hari ini.
Azmi memeriksa perbarisan kehormat pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah melaksanakan kajian keselamatan bagi kawasan Pulau Pangkor sebagai persediaan Pulau Bebas Cukai yang bermula tahun depan.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, pelan kajian itu meliputi lokasi berisiko termasuk pantai, kepadatan penduduk serta risiko bahaya yang mungkin timbul dari premis atau lokasi penginapan.

"Kajian ini bagi memastikan lokasi terlibat berisiko atau tidak. Sekiranya berisiko kita akan melihat dari sudut peralatan, keanggotaan serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil.

"Latihan turut diadakan bersama pengusaha feri dengan menekankan keselamatan penumpang serta latihan kepada pantai yang dikendalikan oleh Akademi Bomba dan Penyelamat Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan serta menyempurnakan pemakaian tanda pangkat kepada 342 pegawai Gred KB22 di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya di sini hari ini.

Azmi berkata, hasil kajian yang dijangka siap penghujung November ini akan diserahkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk dinilai.

"Perlaksanaan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai akan menggamit ramai kehadiran pengunjung dan bomba sebagai agensi penyelamat perlu bersedia dari aspek keselamatan.

"Dengan adanya kajian ini, pengunjung akan berasa lebih selamat sekaligus akan memberi impak kepada ekonomi negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai membabitkan peruntukan keseluruhan RM486 juta menjadi antara projek berimpak tinggi akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sementara itu Azmi turut menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang melanggar tugas hingga dikenakan tatatertib.

Katanya, tindakan akan diambil termasuk memberi amaran serta turun pergerakan gaji.

"Setakat ini kita mempunyai lima kes yang dikenakan tatatertib membabitkan gagal hadir bertugas antara seminggu hingga 10 hari.

"Bagaimanapun angka itu terlalu kecil dan ia tidak menjejaskan keseluruhan operasi," katanya.