Perbicaraan kes saman Zamihan terhadap Mufti Perlis 22 Jun

Zamihan Mat Zin, Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Zamihan Mat Zin, Dr Mohd Asri Zainul Abidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes saman Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) Zamihan Mat Zin terhadap Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung kenyataan berbaur fitnah akan berlangsung lapan hari mulai 22 Jun tahun depan.

Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Mohd Asri memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim hari ini yang turut dihadiri peguam Nur Aifaa Mohd Zain bertindak bagi pihak Zamihan.

"Perbicaraan kes ini akan bermula 22 Jun hingga 25 Jun dan 29 Jun hingga 2 Julai 2020. Mahkamah seterusnya menetapkan 13 Disember ini untuk pengurusan kes selanjutnya," kata Adi Zulkarnain.

Zamihan selaku plaintif memfailkan saman itu Julai lepas dengan menamakan Mohd Asri sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan, Zamihan mendakwa Mohd Asri mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya sebanyak dua kali melalui artikel bertajuk ‘Bukan Perlis sahaja’ yang diterbitkan pada 14 Oktober 2018 dan sesi forum Akta Kesalahan Keselamatan 2012 (SOSMA) bertajuk ‘Siapa Pengganas & Potensi Salahguna Kuasa’ di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 9 Februari lepas.

Plaintif mendakwa ucapan Mohd Asri itu disiarkan di portal berita Malaysiakini dan kenyataan fitnah itu secara langsung merujuk kepada kerjaya, jawatan dan ia tidak benar selain membawa maksud bahawa plaintif tidak berintegriti, pembohong dan mengelirukan orang awam dengan hukum Islam yang karut.

Zamihan mendakwa kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat dan mendedahkan dirinya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan dalam masyarakat dan menuntut antaranya ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, permohonan maaf daripada defendan, perintah injunksi melarang defendan sama ada secara langsung atau tidak mengeluarkan kenyataan itu dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama

Artikel Berkaitan: