Polis rampas air mani gajah dalam botol, taring harimau

Zainal Abidin (kanan) menunjukkan gambar suspek dan hasil rampasan Ops Bersepadu Khazanah.
Zainal Abidin (kanan) menunjukkan gambar suspek dan hasil rampasan Ops Bersepadu Khazanah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa botol berisi air mani gajah, kulit kijang, kuku, kantung dan taring harimau antara barangan dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah di hadapan medan selera Gua Musang, Kelantan pada Sabtu lalu.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, sepasukan anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia turut menahan dua lelaki warga Indonesia dalam operasi pada jam 8 malam.

“Hasil pemeriksaan tersebut kita telah berjaya merampas beberapa item yang disyaki sebahagian daripada hidupan liar.

"Item tersebut dipercayai sebagai ubat kuat,” katanya pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (Polis Diraja Malaysia/Jabatan Perhilitan Semenanjung), di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah 1 (Konservasi) (Perhilitan), Datuk Fakhrul Hatta Musa.

Zainal Abidin berkata, lelaki berkenaan antara 47 individu termasuk seorang wanita yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah sejak September hingga November lalu, hasil keseluruhan rampasan dianggarkan RM500,000.

“Individu yang ditahan berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun.

"Selain warga tempatan, kita turut menahan warga Thailand, Bangladesh, Indonesia, China, Myanmar dan Kemboja yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemburuan haram ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi berkenaan turut melibatkan seramai 106 pegawai Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia dan 143 pegawai serta anggota daripada Batalion 3 PGA Bidor dan Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu.

“Operasi dilaksanakan di seluruh hutan Semenanjung Malaysia. Ia melibatkan bantuan daripada Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Udara, operasi ini bertujuan untuk menangani isu perlindungan hidupan liar dan pemuliharaan hutan khazanah negara,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut merampas pelbagai beberapa tumbuhan hutan seperti orkid hutan serta pokok kacip fatimah dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Hutan Simpan Labis, Johor pada Sabtu lalu.

“Kita turut menangkap seorang lelaki tempatan dalam operasi pada jam 8 pagi itu. Kita juga turut menahan empat lelaki tempatan di Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah pada hari yang sama, selain merampas beberapa alat penebangan pokok,” katanya.