Pengerang capai status majlis perbandaran

Zuraida bersama Sahruddin menyantuni penghulu dan ketua kampung pada majlis perjumpaan bersama penghulu dan ketua kampung daerah Pontian di Pontian hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Zuraida bersama Sahruddin menyantuni penghulu dan ketua kampung pada majlis perjumpaan bersama penghulu dan ketua kampung daerah Pontian di Pontian hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN – Warga Johor khususnya di sekitar Pontian menerima khabar gembira apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan Pengerang sebagai sebuah majlis perbandaran selain sebagai zon bandar pintar (smart city) mulai hari ini.

Zuraida berkata, perkara berkenaan sebenarnya sudah mendapat kelulusan Kabinet pada Mei 2019 lalu dan ia hanya diumumkan hari ini setelah mendapati bandar berkenaan memenuhi kriteria untuk sah bergelar sebuah majlis perbandaran.

“Antara kriteria yang diperlukan untuk bergelar majlis perbandaran adalah perlu memiliki seramai 150,000 penduduk termasuk kutipan cukai berjumlah RM20 juta.

“Bagaimanapun Pengerang mencapai kutipan sebanyak RM32 juta. Oleh itu hari ini kita sahkan Pengerang diangkat sebagai Majlis Perbandaran Pengerang selain turut diisytiharkan sebagai bandar pintar di kawasan selatan.

“Satu kawasan di selatan telah dizonkan dalam seluas 300 ekar sebagai zon smart city dan semua teknologi pintar seperti e-motor, e-transportation, e-lighting semua pembangunan yang masuk ke zon ini harus bertepatan dengan mengikut garis panduan bandar pintar,” katanya pada sidang media pada program perjumpaan penghulu dan ketua kampung bersama Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal di T5 Boutique Hotel Pontian hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertuan (YDP) Majlis Perbandaran Pengerang, Hazlina Jalil.

Tambah Zuraida pada pertemuan berkenaan, pihaknya juga berkongsi dengan ketua-ketua kampung bahawa kawasan kampung juga harus dipermodenkan dalam usaha mewujudkan pula kampung pintar (smart village).

“Rumah tradisi, pembinaan tradisi, kemudahannya harus dipermodenkan. Macam kita di bandarlah untuk jadikan smart village.

Artikel Berkaitan:

“Kita turut melihat satu lagi kawasan yang akan diangkat sebagai sebuah majlis bandaraya tidak lama lagi iaitu Pasir Gudang,” katanya.