Dua pelajar tahfiz didakwa amang seksual junior

Salah seorang pelajar tahfiz yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan kesalahan amang seksual terhadap dua pelajar junior madrasah berkenaan.
Salah seorang pelajar tahfiz yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melakukan kesalahan amang seksual terhadap dua pelajar junior madrasah berkenaan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua pelajar tahfiz sebuah madrasah di daerah ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajar junior di madrasah terbabit.

Kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 17 dan 15 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 10 dan 13 tahun yang dibacakan secara berasingan dalam prosiding secara tertutup.

Mengikut pertuduhan bagi tertuduh berusia 17 tahun dari Marang, dia didakwa menggesel kemaluannya ke punggung seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun kira-kira jam 10.30 malam pada Jun lalu di bilik asrama madrasah berkenaan.

Tertuduh didakwa mengulangi perbuatan itu terhadap mangsa kira-kira jam 10.30 malam antara 11 Ogos hingga 31 Ogos lalu di lokasi sama.

Bagi dua kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tertuduh turut didakwa menyuruh mangsa memegang kemaluannya kira-kira jam 10.30 malam antara 11 Ogos hingga 31 Ogos lalu di lokasi sama yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 14(b) Akta sama.

Sementara itu tertuduh kedua berusia 15 tahun yang berasal dari Seberang Takir di sini turut berdepan tiga pertuduhan dengan yang pertama didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar junior madrasah itu berusia 10 tahun.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan dia didakwa melakukan amang seksual dengan meraba kemaluan pelajar lelaki itu yang mana dua pertuduhan didakwa dilakukan kira-kira jam 12 malam di bilik asrama madrasah berkenaan pada Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Manakala satu lagi pertuduhan dia didakwa melakukan perbuatan itu di surau madrasah kira-kira jam 11 malam, Mei lalu.

Atas kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sebaik pengakuan tertuduh direkodkan, Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 8 Disember depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di sini, sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mahkamah turut membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din.