Cadang kenakan tindakan ibu bapa 'buang anak' di pusat tahfiz

Mujahid - Foto fail
A
A

BUKIT JALIL - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan ada ibu bapa salah faham dengan konsep pusat tahfiz seolah-olah menjadikan pusat itu sebagai pusat pembuangan.

Tegasnya, beliau mahu ‘mencari’ satu undang-undang yang boleh mengenakan tindakan kepada ibu bapa yang mengamalkan konsep sedemikian kerana mereka tidak pernah serik.

“Konsep yang salah dalam kalangan ibu bapa, kadang-kadang hantar anak tahfiz bukan sebab nak jadi hafiz tapi mereka biar situ sebab selesai masalah makan minum, petang baru ambil.

“Atau masukkan ke asrama dan tak perlu fikir dah. Ini adalah salah. Tahfiz dijadikan dumping ground dan anak-anak menjadi mangsa.

“Kalau tanya saya, saya nak cari satu undang-undang yang boleh ambil tindakan kepada ibu bapa. Itu salah satu pilihan sebab mereka tak pernah serik. Letak anak berusia tujuh tahun, apa dosa anak tujuh tahun itu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid tahfiz mati dipercayai dipukul

Siasat kes pelajar tahfiz maut: Wan Azizah

Siak dengar suara kanak-kanak menangis

Beliau yang ditemui pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019 di sini pagi tadi berkata demikian bagi mengulas kes seorang pelajar tahfiz mati dipercayai akibat dipukul di Temerloh, Pahang.

Murid lelaki yang berusia 7 tahun itu ditemui wardennya kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin dan dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di klinik terbabit.

Tambah Ahli Parlimen Parit Buntar itu, ibu bapa juga perlu melihat kesesuaian sekiranya mahu menghantar anak mereka yang baharu berusia 7 tahun ke pusat tahfiz.

“Kesesuaian anak 7 tahun itu perlu dilihat, macam mana keadaan tahfiz itu, keadaan, kebajikan, kurikulumnya. Saya tak kata umur tujuh tahun tak boleh hantar ke tahfiz, itu pilihan ibu bapa.

“Tapi pilihan bagaimana, adakah sekadar dumping ground lepas tu tinggal, buat hal masing-masing dan tengok-tengok, anaknya jadi sesuatu.

“Akhirnya tahfiz jadi dumping ground, tidak menjadi institusi yang dihormati,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Mujahid meluahkan kekecewaannya apabila dimaklumkan pusat tahfiz di Temerloh itu tidak berdaftar.

“Kami dimaklumkan bila berlaku peristiwa ini, memang pusat tahfiz itu tidak berdaftar.

“Jadi bagaimana anda buat satu tahfiz, ambil anak orang tapi tak berdaftar, ibu bapa berterusan hantar (ke pusat tahfiz). Saya pun tak faham,” katanya.