Zakat di Terengganu tidak diagihkan kepada bukan Islam: MB

Ahmad Samsuri (kiri) mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyampaikan hadiah kepada JHEAT, johan pertandingan perarakan kategori jabatan kerajaan dan badan berkanun negeri sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Terengganu, hari ini. Foto: UPDI
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu terus mengekalkan agihan bantuan zakat kepada lapan golongan asnaf yang telah ditetapkan dan tidak melibatkan golongan bukan Islam.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, agihan itu sebagaimana ketetapan dan amalan yang dilaksanakan sebelum ini.

"Agihan zakat di Terengganu tiada perubahan. Kita mengekalkan agihan yang sama sebelum ini kepada lapan golongan asnaf yang ada, tidak melibatkan pihak-pihak yang lain," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Terengganu tahun 1441H di Stadium Negeri di sini hari ini.

Lapan golongan asnaf yang ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) ialah fakir, miskin, amil, mualaf, riqab (seseorang yang terbelenggu tanpa kebebasan), gharimin (penghutang Muslim), fisabilillah (orang yang berjuang kerana ALLAH) dan ibnu sabil (musafir).

Sebelum ini, Mufti Perlis dan Sabah, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Datuk Bungsu Aziz Jaafar dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa golongan bukan Muslim di negeri itu harus menerima wang zakat.

Menurut Asri, golongan bukan Islam yang layak mendapat wang zakat dikategorikan sebagai asnaf 'muallafah qulubuhum' atau golongan yang ingin diharmonikan sikap serta pandangan mereka terhadap Islam selain berdasarkan syarat ditentukan pemerintah.

Sementara itu, Bungsu Aziz pula berkata, fatwa agihan wang zakat untuk bukan Islam di Sabah telah dikeluarkan sejak lima tahun lalu namun pelaksanaannya bergantung kepada keadaan khusus dengan mengambil kira kutipan zakat dan keutamaan kepada masyarakat Islam.

Katanya, berdasarkan fatwa itu hukum untuk memberikan zakat kepada orang bukan Islam di negeri ini adalah 'harus' tetapi bergantung kepada sesuatu keadaan penerima itu.