Lantikan politik dalam GLC tidak tepati janji PH: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menempelak janji Pakatan Harapan (PH) berhubung pelantikan ahli lembaga pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) nasional dan negeri.

Menerusi status di Facebooknya, beliau berkata, segala janji Manifesto Buku Harapan PRU14 adalah palsu dan turut menyindir kerajaan adakah semua itu berpunca daripada kesilapan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Di antara janji Manifesto Buku Harapan PRU-14 adalah 'janji Nombor 22', kerajaan PH akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

"Ternyata segala janji yang ditabur palsu belaka, yang jelas sembilan orang pimpinan DAP dilantik ke pelbagai jawatan GLC dan agensi strategik milik Kerajaan Persekutuan dan Negeri," tulisnya.

Asyraf Wajdi turut mempersoalkan apakah semua itu bukan lantikan politik dan ada implikasi kewangan untuk menunaikan janji tersebut.

Tulis beliau lagi, "Apakah semua itu salah Najib dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga sebagaimana alasan biasa kerajaan PH."