Identiti salah seorang mangsa rentung berjaya dikesan

Laporan Sinar Harian berkaitan nahas terbabit.
A
A

SEREMBAN - Polis sudah mengesan identiti dan waris salah seorang mangsa kemalangan maut di KM262.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, waris mangsa ialah seorang wanita hadir ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban hari ini.

"Wanita tersebut dipercayai ibu mangsa yang membantu pengecaman melalui sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

"Polis masih lagi giat mengesan waris bagi mangsa seorang lelaki dipercayai bernama Kiew Ah Lai berumur 55 tahun dan berasal dari Kedah. Ia berdasarkan penemuan lesen memandu yang dijumpai di kawasan kemalangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Identiti dua mangsa rentung belum dikenal pasti

Mohd Said berkata, polis juga memohon saksi supaya tampil membantu memberi keterangan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 06-6033394 di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

Kes disiasat di bawah Seksyen.41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ketika kejadian kira-kira jam 6 petang Rabu lalu sebuah kenderaan musnah 100 peratus akibat terbakar selepas terbabas ke dalam longkang.

Susulan insiden tersebut pemandu dan seorang penumpang ditemui rentung dan mayat kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Seremban untuk dibedah siasat.