Apa pilihan orang Tanjung Piai

A
A
A

SENGIT. Itu perkataan yang barangkali banyak digunakan oleh pemerhati politik dalam menerangkan peluang calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ketika ini.

Selepas seminggu berkempen, baik Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan calon-calon yang lain kini giat memikat undi dengan pelbagai aktiviti.

Memang ada benarnya pertembungan dalam PRK Tanjung Piai agak sengit. Namun begitu ia masih boleh dianggap terbuka.

Demografi seimbang antara pengundi Melayu (52 peratus) dan Cina (46 peratus) adalah asas untuk menyokong kenyataan itu.

Itu menjadikan percaturan politik di Tanjung Piai lebih mudah dan fokus tetapi dalam masa yang sama ia membebankan terutamanya di antara PH dan BN kerana persaingan menjadi sengit, seimbang dan terbuka.

Bagaimana boleh terjadi begitu? Perkara itu berlaku disebabkan pertandingan antara calon Melayu (PH) dan Cina (BN).

Walaupun dalam PRK ada enam calon yang bertanding menerusi pecahan empat parti politik dan dua calon bebas tetapi enam calon itu boleh dibahagikan kepada dua sahaja, orang Melayu (tiga) dan Cina (tiga).

Pertembungan itu berlaku dalam konteks politik negara yang terlalu perkauman, politikal dan beremosi. Dengan perkembangan semasa (Isu ICERD, rusuhan kuil dan pengganas LTTE), apa yang berlaku di PRK Tanjung Piai mungkin akan mengeruhkan lagi keadaan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Permainan

Mengapa jadi perkauman? Sudah tentu disebabkan naratif semasa yang dimainkan oleh kedua-dua parti itu sendiri.

Di pihak PH sebagai parti pemerintah, walaupun meletakkan calon Melayu dianggap tepat dan selamat, sentimen pengundi Melayu masih memperlihatkan kelompok ini menolak calon PH, sepertimana PRK Semenyih. Dua perkara besar yang membebani PH sudah tentulah naratif DAP menguasai kerajaan serta tuduhan bahawa Melayu-Islam terancam di bawah kerajaan baharu masih gagal ditangani dengan baik oleh PH.

Sebab itu PRK Tanjung Piai bolehlah diandaikan sebagai PRK paling bersentimen dalam sembilan PRK pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagi BN, walaupun sentimen populis Melayu-Islam dan permuafakatan UMNO-Pas ketika ini memberikan kelebihan buat BN seperti dalam PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau mempertaruhkan calon Cina di kawasan majoriti Melayu dilihat agak keterbelakang dan berisiko.

Malah, calon kitar semula BN itu pernah dilabelkan sebagai anti-Islam oleh Pas kerana sering mengkritik hudud dan parti itu.

Ia pasti menyukarkan usaha untuk meraih undi orang Melayu dan bakal mengundang kritikan bahawa UMNO-Pas takut dengan MCA dan akan dimomokan sebagai pro-Islam oleh lawan kalau berkempen pada orang Cina.

Jadi bagaimanakah kita boleh meramalkan apa yang bakal berlaku di PRK itu? Dalam kajian pilihan raya, ada beberapa teori utama yang sering digunakan untuk memahami tingkah laku dan pilihan pengundi seperti teori sosiologikal, teori psikososial dan teori pilihan rasional.

Untuk memudahkan fahaman, teori sosiologikal menerangkan bahawa pengundi berkecenderungan mengundi berdasarkan persamaan kaum, agama, bahasa atau budaya.

Teori psikososial pula, memperlihatkan pengundi memilih berdasarkan pengalaman manusia secara psikologi dan sosial yang terbentuk sewaktu proses pendewasaan menerusi sosialisasi politik. Manakala, teori pilihan rasional menyamakan pengundi dengan kepenggunaan di mana pengundi ketika mengundi akan menggunakan rasionaliti seperti mereka berbelanja akan sentiasa melihat manfaat maksimum yang diperoleh daripada undi dibuang.

Kalau pengundi di Tanjung Piai bersikap sosiologikal, maka akan berlaku status quo.

Mengandaikan pengundi Melayu akan memilih calon Melayu dan sebaliknya bagi pengundi Cina, maka PH mengekalkan kerusi Tanjung Piai tetapi dalam situasi sekarang ini agak mustahil untuk berlaku.

Kalau ikut teori psikososial, sentimen dan perkembangan semasa memperlihatkan PH tidak popular terutamanya di kalangan orang Melayu. Itu memberikan ruang buat BN merampas kerusi ini kembali, terutamanya menerusi calon yang sudah dikenali dan pernah berkhidmat di sana.

Sepertimana perbincangan di awal tadi, PRK ini masih lagi seimbang dan terbuka.

Mungkin pengundi di Tanjung Piai akan menggunakan rasionaliti mereka mengikut pendekatan pilihan rasional.

Apapun, kuasa undi berada di tangan rakyat. Hanya orang Tanjung Piai yang berhak menentukan pilihan mereka pada PRK itu.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)