Tiada bukti babi hutan di Melaka meningkat kerana migrasi dari Indonesia

Ahmad
A
A

MELAKA - Tiada bukti atau laporan spesifik menyatakan peningkatan populasi babi hutan di Pulau Besar di sini adalah disebabkan migrasi haiwan itu dari Sumatera, Indonesia namun kajian mengenai dakwaan pertambahan populasi haiwan di kawasan terbabit perlu dilakukan.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail berkata, Kepulauan Indonesia yang terdekat dengan Pulau Besar adalah Pulau Rupat, Riau namun jarak pulau itu agak jauh iaitu 62.59 kilometer (km) untuk babi hutan itu berenang yang mana faktor arus laut turut perlu diambil kira.

"Jika diikutkan jarak Pulau Rupat dengan kawasan lain yang berdekatan dengan pulau itu di negara ini ialah Muar dan Tanjung Tuan, bagaimanapun saya fikir idea yang terbaik adalah kita mengkaji genetik dan populasi babi hutan itu terlebih dahulu untuk membuat sebarang dakwaan.

"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang bertanggungjawab sudah tentu akan melaksanakan tugas mereka berdasarkan dakwaan itu mengikut prosedur yang ada dengan mengambil sampel darah haiwan liar berkenaan bagi mengenal pasti spesies itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada 5 September lalu sebuah media berbahasa Inggeris melaporkan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai berkata, babi hutan berupaya berenang merentasi Selat Melaka dari Sumatera dan singgah di Pulau Besar sebelum berenang ke Melaka sehingga menyebabkan populasi haiwan itu meningkat.

ARTIKEL BERKAITAN: Populasi babi hutan di Melaka meningkat sekali ganda

Semalam akhbar sama mendakwa melaporkan populasi babi hutan di negeri itu tinggi serta membimbangkan di 30 kawasan namun dinafikan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam laporan Bernama hari ini yang menegaskan populasi itu haiwan itu terkawal dan tidak memberi ancaman kepada penduduk.

Ditanya tentang keberkesanan mengawal populasi babi hutan, Ahmad berkata, Perhilitan perlu mempunyai kaedah kawalan populasi haiwan liar itu selain mengambil kira bilangan, gangguan atau konflik dengan manusia, penyakit termasuk aspek sains seperti aspek pemuliharaan dan genetik.

"Mana-mana haiwan mempunyai peranan mereka dalam persekitaran. Haiwan ini akan menghadapi masalah kepada manusia atau menyebabkan konflik apabila habitat mereka terganggu. Kebanyakan kita tidak faham tentang habitat, tingkah laku haiwan ini, dan maklumat biologi yang lain.

Apabila tidak faham cara mudah jika membunuh mereka atau menangkap dan memindahkan mereka ketika menghadapi konflik dengan manusia. Dari segi sains dan pemuliharaan kita perlu mempertimbangkan banyak perkara sebelum tindakan seperti membunuh haiwan ini diambil.

Ahmad berkata, sebarang tindakan membunuh atau memindahkan babi hutan di kawasan berkaitan perlu mengambil kira faktor pemuliharaan dan kepentingan kepada ekologi. - Bernama