Buka semula terminal Kukup bukti kerajaan PH flip-flop: Shamsubahrin

Shamsubahrin (dua dari kiri) dan Faridah Aryani (tiga dari kiri) bersama penyokong selepas sidang media di Pontian hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Shamsubahrin (dua dari kiri) dan Faridah Aryani (tiga dari kiri) bersama penyokong selepas sidang media di Pontian hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Keputusan kerajaan Johor membuka semula Terminal Feri Antarabangsa di Kukup di sini semalam membuktikan manifestasi pendekatan flip-flop Pakatan Harapan (PH) dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Pengarah kempen pilihan raya bagi calon bebas dari Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, keputusan itu dianggap tergesa-gesa sedangkan sebelum ini Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengatakan pembukaan semula terminal itu terpaksa ditangguhkan sejak ditutup 1 September lalu.

"Bila timbul Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, tiba-tiba isu pembukaan semula Terminal Feri Kukup timbul.

"Dua tiga hari lepas kata tidak boleh buka, tetapi apabila pemandu kereta sewa di Pontian mengadu masalah penutupan terminal jejas pendapatan, mereka tiba-tiba buka semula.

"Pendekatan politik flip-flop sebegini tidak patut diketengahkan. Saya takut kalau PH kalah, mereka tutup semula terminal dengan beri pelbagai alasan," katanya pada sidang media calon bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffar di Serkat di sini hari ini.

Shamsubahrin berkata, keputusan membuka semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup juga dianggap taktik kerajaan PH cuba menyejukkan hati pemain industri pengangkutan sekitar Parlimen Tanjung Piai.

"Selain itu kerajaan melalui pihak berkuasa berkaitan tidak mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha kereta sapu yang kini bermaharajalela mengangkut penumpang sehingga menjejaskan pendapatan pemandu teksi dan kereta sewa.

"Sebab itu kita tekankan kita akan bawa suara pengundi B40 berbanding parti politik sedia ada yang lebih sibuk main isu perkauman dan bagi duit kepada pengundi sepanjang PRK kali ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 1 September lalu, operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup dihentikan sementara dan dipindahkan ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di Iskandar Puteri.

Penutupan sementara itu berikutan langkah kerajaan Johor menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut atas sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun pada 1 November lalu terminal berkenaan dijadualkan dibuka semalam, namun terpaksa ditangguhkan dan akhirnya dibuka semula semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Terminal Feri Antarabangsa Kukup dibuka semula hari ini