Konvensyen Program Tunas Niaga rai usahawan muda

Mohd Azizi (dua dari kiri) bersama guru serta usahawan pada pameran niaga sempena Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) kali ke-21 di Hotel De Palma, Shah Alam semalam.
A
A

SHAH ALAM - Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) peringkat negeri Selangor kali ke-21 disertai 50 sekolah di seluruh negeri membabitkan 1,250 peserta terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.

Konvensyen yang disertai 100 guru pembimbing itu membuktikan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus komited melahirkan generasi usahawan sesuai hasrat kerajaan merancakkan ekonomi melalui kluster kecemerlangan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sejak dilaksanakan 20 tahun lalu, program PROTUNe melahirkan 24,325 usahawan muda membabitkan 975 syarikat didaftarkan sebagai Sdn Bhd.

“Bermula Februari hingga September tahun ini ramai usahawan muda berjaya menjual produk mereka,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) kali ke-21 di Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini semalam.

Mohd Azizi berkata, pada program PROTUNe itu turut diadakan satu pertandingan dengan setiap sekolah perlu menubuhkan syarikat dan mengusahakan jualan barangan.

Mohd Azizi menunjukkan tanda bagus ketika melihat hasil jualan usahawan semalam.
Mohd Azizi menunjukkan tanda bagus ketika melihat hasil jualan usahawan semalam.

Katanya, pertandingan itu berjaya mencapai sasarannya apabila syarikat yang beroperasi tahun ini berjaya memperoleh rekod jualan berjumlah RM2.7 juta dan mencatatkan keuntungan keseluruhan hampir RM700,000.

“PKNS berbangga dengan pencapaian mereka mengendalikan syarikat yang ditubuhkan kerana terdapat peningkatan jumlah keuntungan yang direkodkan berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM30,000,” katanya.

Program berkenaan dianjurkan oleh PKNS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Sebanyak 12 anugerah dipertandingkan antaranya Anugerah Hartawan Saidina 3x, Anugerah Harapan, Anugerah Produk Kreatif Terbaik, Anugerah Produk Inovasi Terbaik, Anugerah Perkhidmatan Terbaik, Anugerah Laporan Kewangan Terbaik, Anugerah Pekerja Terbaik, Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Anugerah Pengetua Terbaik, Anugerah Sekolah Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Syarikat Terbaik.

Manakala bagi peserta Program Perintis Usahawan (PPU) terdapat lima anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Persembahan Pentas Terbaik (PPU 2019), Anugerah Jualan Terbaik Keseluruhan PPU 2019, Kejohanan Hartawan Saidina 3x Terbaik PPU 2019, Anugerah Guru Besar Perintis Terbaik 2019 dan Anugerah Guru Perintis Terbaik 2019.