Empat daripada 10 tapak pelupusan di Pahang dijangka penuh tahun ini

Dari kiri Sharudin bersama wartawan, Nor Khalilah pada program Sinar Live bersama Sinar Harian hari ini.
Dari kiri Sharudin bersama wartawan, Nor Khalilah pada program Sinar Live bersama Sinar Harian hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Empat daripada 10 tapak pelupusan di negeri ini dijangka penuh tahun ini jika mentaliti umum terhadap pengurusan sisa dari rumah tidak berubah.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Sharudin Hamid berkata, tapak pelupusan berkenaan ialah Tapak Pelupusan Jalan Lipis, Tapak Pelupusan Jengka 10, Tapak Pelupusan Kampung Chuat dan Tapak Pelupusan Keledang.

Menurutnya, Tapak Pelupusan Jerangau sudah penuh sejak 2018 ekoran peningkatan sampah yang ketara iaitu mencecah 500 tan sehari.

"Jumlah sampah yang dihasilkan di Pahang setiap hari ialah 1,260 tan dan dilupuskan di 10 tapak pelupusan. Empat lagi masing-masing di Belenggu yang boleh bertahan sehingga 2025, Padang Sertik sehingga 2022, Blue Valley (2024), Muadzam Shah (2024) dan Kampung Feri Rompin (2033)," katanya.

Justeru, Sharudin berharap masyarakat dapat menguruskan sisa pepejal bermula dari rumah dengan cara terbaik.

"Buang mentaliti seperti aku bayar cukai, kalau aku buang sampah merata-rata ada orang yang akan kutip dan bersihkan. Buang sikap itu dan didik anak-anak kita untuk menguruskan pengasingan sampah sejak dari rumah.

"Amalan reduce, reuse dan recycle (3R) perlu diperkasakan. Ketahuilah kos untuk membuka pusat pelupusan baharu sangat tinggi dan melibatkan banyak pihak," katanya selepas sesi Sinar Harian Facebook Live di sini hari ini.

Sharudin berkata, pihaknya sedang menambah baik kemudahan sisa pepejal dari aspek tapak pelupusan seperti di bawah Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

Artikel Berkaitan:

"Matlamat dasar ini bertujuan mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang menyeluruh, bersepadu, kos efektif, mampan dan diterima masyarakat.

"Antara mekanismenya ialah dengan memfokuskan pengurangan penghasilan sisa pepejal. Sasaran kita untuk kadar kitar semula pada tahun hadapan ialah 30 peratus berbanding 28 peratus tahun ini," katanya.