Populasi babi meningkat tak jejaskan pelancongan Melaka: Adly

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA TENGAH - Populasi babi hutan yang mengalami peningkatan di Melaka masih boleh dikawal dan tidak menjejaskan industri pelancongan.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya yakin Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka dan agensi berkaitan sentiasa berusaha dan mencari inisiatif bagi membasmi hidupan liar itu terutama di kawasan kediaman penduduk dan lokasi tumpuan pelancong seperti Pulau Besar.

Menurutnya, kerajaan Melaka turut menyediakan peruntukan khas bagi menangani masalah hidupan liar di Melaka dan isu berkenaan tidaklah sehingga memberi kebimbangan atau memberi impak negatif kepada kehadiran pelancong di negeri itu.

"Isu populasi babi hutan kita masih boleh kawal dan yakin ia boleh diatasi dengan kerjasama baik di antara Perhilitan dan agensi-agensi lain termasuk masyarakat awam.

"Kawalan boleh dibuat dan kalau kita lihat mengapa haiwan-haiwan itu mengganggu kawasan sekitar kebanyakan disebabkan kawasan hutan yang sepatutnya menjadi habitat haiwan liar diganggu," katanya.

Adly berkata demikian kepada media ketika Hari Bertemu Rakyat Perdana Siri 4 Tahun 2019 dan Pelancaran Aplikasi Pintar Respons Rakyat di Hotel Pantai Puteri, Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini hari ini.

Adly (tengah) ketika Hari Bertemu Rakyat Perdana Siri 4 Tahun 2019 di Hotel Pantai Puteri, Tanjung Kling hari ini.
Adly (tengah) ketika Hari Bertemu Rakyat Perdana Siri 4 Tahun 2019 di Hotel Pantai Puteri, Tanjung Kling hari ini.

Katanya, Jabatan Perhutanan Melaka juga boleh memainkan peranan dengan membuat pemantauan supaya kawasan hutan dapat dipelihara dan dikekalkan kelestariannya daripada diceroboh mahupun dibangunkan dengan sebarang projek pembangunan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya hidupan liar juga penting sebagai satu keperluan kepada kelestarian alam secara menyeluruh seperti kalau kita lihat isu monyet berlaku kerana penempatan habitat itu adalah terhad," katanya.

Sementara itu, Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil menjelaskan pihaknya difahamkan terdapat perancangan sudah ditetapkan ke atas bangunan Sekolah Menengah Tahfiz al-Quran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

"Terpulang kepada pemilik bangunan itu iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) untuk berbincang dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

"Bangunan itu akan dikosongkan pelajar tahfiz berkenaan kerana apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah faktor keselamatan dan kemudahan pembelajaran pelajar di tempat lebih baik," katanya.

Semalam media melaporkan populasi babi hutan di negeri itu membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu.

Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd Hasdi Husin berkata, dalam tempoh lima tahun sebanyak 483 aduan diterima membabitkan konflik babi sama ada di kawasan perumahan mahupun kediaman penduduk yang berhampiran belukar.