PTG tahan dua lori lebih muatan dalam Ops Tiris

Mohamad (kiri) memeriksa lori ditahan dalam Ops Tiris di Kampung Bikan, mukim Bakai, Baling hari ini.
Mohamad (kiri) memeriksa lori ditahan dalam Ops Tiris di Kampung Bikan, mukim Bakai, Baling hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak dua buah lori disita dalam Ops Tiris oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah di Baling, di sini hari ini, dalam usaha menangani isu ketirisan hasil royalti bahan batuan di seluruh negeri ini.

Pengarah PTG Kedah, Datuk Mohamad Che Nai berkata, sepasukan lapan anggota PTG Baling menahan lori selepas dikesan melakukan kesalahan muatan melebihi had ditetapkan, tiada resit hasil dan borang 4C kira-kira jam 10.30 pagi di Kampung Bikan, Mukim Bakai.

"Itu antara syarat diperlukan untuk mengeluarkan hasil bantuan di Kedah, namun kita dapati mereka melanggar syarat ditetapkan itu, malah mereka turut mengkhianati janji untuk mematuhi syarat ditetapkan bagi mengeluarkan hasil bantuan, sedangkan baru semalam berikrar mengikutinya," katanya pada sidang media di Pejabat PTG Kedah hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengadakan pertemuan dengan kira-kira 188 operator dan pengusaha kuari yang masing-masing berikrar untuk mengikuti syarat ditetapkan.

"Namun, baru sahaja ikrar semalam, hari ini mereka melakukan kesalahan dengan mengkhianati kita dan tidak mematuhi perjanjian untuk tidak menyalahi peraturan ditetapkan," katanya.

Lebih mengejutkan katanya, ada bersikap biadab dengan membuang pasir di hadapan kakitangan PTG selepas diperiksa dalam operasi berkenaan.

Sehubungan itu katanya, pihaknya menahan dua kenderaan berkenaan untuk tindakan selanjutnya, manakala kuari terbabit ditutup.

Mohamad berkata, pelanggaran syarat berkenaan menyebabkan Kedah kehilangan banyak hasil, justeru usaha berterusan dilaksana demi menangani isu ketirisan hasil royalti bantuan di negeri ini.

Artikel Berkaitan: