Tambahan RM1 bilion diluluskan Najib tidak disarankan BOD: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tambahan RM1 bilion yang dilaburkan dalam perjanjian usaha sama 1Malaysia Development Berhad (1MDB)-PetroSaudi diluluskan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2011.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang berkata demikian, bagaimanapun tidak bersetuju terhadap cadangan bahawa lembaga pengarah (BOD) mengesyorkan Najib (pemegang saham hak keutamaan) meluluskan dana tambahan itu.

Saksi berusia 49 tahun itu berkata demikian apabila ditunjukkan pernyataan saksinya berhubung Resolusi Pemegang Saham Keutamaan Boleh Tebus Hak Istimewa bertarikh 16 Mei 2011 oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-33 perbicaraan kes dana 1MDB bekas Perdana Menteri itu.

Muhammad Shafee yang membacakan pernyataan saksi Shahrol Azral berkata, Najib atas kedudukannya sebagai Menteri Kewangan ketika itu melalui Menteri Kewangan Diperbadankan, menandatangani perjanjian pelaburan tambahan RM1 bilion, usaha sama 1MDB-PetroSaudi menerusi Perjanjian Pembiayaan Murabaha.

Muhammad Shafee: Daripada keterangan kamu tadi, anda mengatakan bahawa lembaga pengarah disarankan tanpa keraguan kepada Pemegang Saham Keutamaan Boleh Tebus Hak Istimewa untuk menandatangani kerana mereka (BOD) cukup gembira dengan hasil mesyuarat PSI di London?

Shahrol Azral: Tidak...mereka berpuas hati hasil mesyuarat bersama PSI itu dan dalam mesyuarat itu dengan Najib sebelum mesyuarat lembaga. Lembaga pengarah berpuas hati bahawa ini adalah selaras dengan apa yang strategik kepada Najib dan juga untuk negara. Saya tidak setuju bahawa lembaga yang menyarankan kepada Najib.

Kepada soalan lain, saksi itu berkata, lembaga itu ‘gembira’ dan selesa dengan PSI serta berpuas hati dengan penjelasan Tarek Obaid (CEO PSI) dan Patrick Mahony (pengarah PSI) kepada Najib (Pengerusi lembaga penasihat) semasa lawatan ke pejabat PSI di London pada 16 Mei 2011.

Beliau berkata, dia menghadiri kedua-dua mesyuarat antara lembaga 1MDB dan PSI, serta mesyuarat lembaga 1MDB, PSI dan Najib.

Artikel Berkaitan:

Apabila ditanya mengapa RM1 bilion (pinjaman tambahan) tidak dibincangkan dalam resolusi pekeliling pengarah (DCR) 1MDB, saksi itu berkata perkara itu dibincangkan tetapi tidak didokumenkan dalam minit tersebut. - Bernama