[VIDEO] Tiada kebocoran radioaktif di gudang kargo KLIA

Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) melakukan pemeriksaan di lokasi.
Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) melakukan pemeriksaan di lokasi.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan tiada sebarang kebocoran bahan radioaktif dikesan berlaku di gudang kargo milik Pos Aviation Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, perkara itu disahkan selepas pemeriksaan teliti dilakukan ke atas kotak yang mengandungi bahan radioaktif itu.

"Selepas pihak bomba dan Lembaga Tenaga Atom Malaysia buat pemeriksaan, kita dapati tidak berlaku kebocoran pada bahan radioaktif itu.

"Kotak basah yang mengandungi barangan perubatan seberat 20 kilogram termasuk cecair iridium metalsolid 192, iaitu sejenis cecair radioaktif itu tidak bocor. Memang kotak itu didapati basah tetapi ia bukan daripada kebocoran cecair radioaktif," katanya pada sidang media di Pos Kargo KLIA di sini hari ini.

Hafisham ketika ditemui media di pintu masuk gudang kargo KLIA.
Hafisham ketika ditemui media di pintu masuk gudang kargo KLIA.

Hafisham berkata, premis itu dibenarkan memulakan operasi semula pada jam 3.30 petang selepas siasatan selesai.

"Semua kakitangan yang berada di lokasi semasa kejadian juga disahkan selamat dan tiada pekerja yang terjejas," katanya.

Selain itu, beliau juga memuji tahap kesedaran tinggi pekerja terbabit yang segera membuat laporan berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, cecair iridium metalsolid 192 sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kematian serta-merta jika terhidu secara terus.

Terdahulu, JBPM Selangor menerusi satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat KLIA menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 10.42 pagi.

Menurut kenyataan itu, pihaknya kemudian segera menghantar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) ke lokasi.

Pos Aviation menerusi kenyataan memaklumkan bomba mengarahkan semua kakitangannya meninggalkan bangunan terbabit susulan kebocoran radioaktif berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kebocoran radioaktif di Gudang Pos Aviation