Maqis Kelantan rampas ketam bulu

20 ketam bulu yang masih hidup seberat 5kg dirampas di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini kelmarin.
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 20 ekor ketam bulu yang masih hidup seberat lima kilogram (kg) tanpa sebarang dokumen sah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini kelmarin.

Pengarah Maqis Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap dua warganegara China yang baharu tiba di balai ketibaan (LTSIP) kira-kira jam 5.50 petang yang sebelum itu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur daripada negara China.

"Hasil pemeriksaan ke atas pasangan suami isteri tersebut mendapati mereka membawa dua kotak ais berwarna putih yang mengandungi 20 ekor ketam hidup yang dianggarkan bernilai RM300.

"Kotak berkenaan ketika dijumpai diletakkan di dalam dua bagasi yang berasingan dan ketam itu dipercayai dibawa masuk sama ada untuk kegunaannya sendiri atau tujuan pembiakan.

"Ketam tersebut dirampas kerana tiada sebarang dokumen yang sah, seperti permit import yang dikeluarkan Jabatan Maqisdan sijil kesihatan daripada negara asal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import sah daripada Maqis merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohd Azam berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dan tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa, bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Katanya, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara ini.

"Langkah ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan," katanya. - Bernama