Jangan salah tafsir kebenaran tanam hem

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BARANGKALI ramai yang terpinga-pinga apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membuat kenyataan kerajaan sedang mengkaji penanaman hem, sejenis tumbuhan herba daripada spesies Cannabis Sativa bagi tujuan penyelidikan pihak industri.

Dadah adalah musuh nombor satu di Malaysia. Kebelakangan ini, pasaran tempatan dibanjiri dengan pelbagai dadah sintetik. Itu belum lagi masalah vape, ketum dan shisha.

Jadi tidak hairan jika ramai yang terkejut dan membuat tafsiran salah mengenai keputusan kerajaan untuk mengkaji penanaman hem di negara ini. Meskipun sejenis dengan ganja namun hem tidak memiliki sifat psikoaktif seperti ganja.

Beberapa negara turut menanam hem secara terkawal seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Afrika Selatan, New Zealand dan China juga untuk tujuan industri memandangkan terdapat pelbagai manfaat yang dihasilkannya kepada kesihatan manusia sekali gus menyumbang kepada kemajuan sektor ekonomi sesebuah negara.

Umumnya hem digunakan sebagai bahan industri kerana serat pada batang dan bijinya yang digunakan dalam lebih 25,000 produk industri di seluruh dunia. Ini termasuklah kertas, tali, kain, bahagian automotif, perabot, produk kecantikan dan pembinaan.

Hem ditanam bukan untuk tujuan rekreasi kerana kandungan ganjanya yang sangat rendah. Terdapat pelbagai kajian ilmiah telah dilakukan ke atas hem bagi tujuan menghasilkan produk-produk yang selamat, berkualiti dan terjamin.

Seorang pengkaji dari Universiti Clarckson New York, Amerika Syarikat, David Mitlin menemukan bahawa hem setelah diproses menghasilkan lembaran nano karbon dengan struktur yang mirip dengan graphene.

Pada tahun 2014, sebuah perusahaan dari Kanada, Hempearth bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Florida untuk membuat sebuah pesawat yang hampir semua bahannya dibuat daripada hem. Sayap pesawat tersebut dibuat 75 peratus daripada bahan hem.

Artikel Berkaitan:

Sudah tentu kepentingan umum dan kesejahteraan rakyat diambil kira sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan. Justeru, jangan cepat membuat kesimpulan kerana terdapat banyak prosedur operasi standard (SOP) yang perlu digariskan berikutan kebenaran penanaman hem.