[VIDEO] Wan Azizah luah rasa syukur Tun M akan serah jawatan kepada Anwar

DR WAN AZIZAH
DR WAN AZIZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluahkan rasa syukur dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bersetuju menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Alhamdulillah,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Wan Azizah yang juga isteri kepada Anwar diminta mengulas laporan berita mengenai temubual eksklusif antara Dr Mahathir bersama akhbar Australia, The Sydney Morning Herald di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Dr Mahathir dilaporkan bersedia menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sebelum pilihan raya umum akan datang, tanpa memberikan sebarang tarikh.

Sementara itu dalam perkembangan lain iaitu mengenai keputusan Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran, Wan Azizah berkata, kerajaan menghormati keputusan mahkamah itu.

“Itu keputusan Mahkamah dan kita menghormati keputusan itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediamannya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, Seremban masing-masing pada jam 9.58 pagi dan jam 11.50 pagi 10 Oktober lepas. - Bernama