KDN beri penjelasan permohonan kewarganegaraan ditolak tahun depan

Mohd Azis Jamman.
Mohd Azis Jamman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula tahun depan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi penjelasan bagi setiap permohonan kewarganegaraan yang ditolak, kata Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata, ia akan dilakukan selepas pihaknya memuktamadkan pengemaskinian prosedur operasi standard (SOP) permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi individu berumur bawah 21 tahun.

“SOP itu akan dilaksanakan bermula tahun depan. Ia mengandungi mekanisme pemakluman kepada pemohon berkaitan sebab-sebab sesuatu permohonan kewarganegaraan itu ditolak serta tempoh pemprosesan permohonan kewarganegaraan.

“...sebelum ini memang tidak ada SOP (untuk memberi pemakluman),” katanya pada sesi kamar khas di Parlimen, hari ini.

Mohd Azis berkata demikian sebagai menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) yang ingin tahu prosedur akan dijalankan berhubung masalah permohonan kerakyatan.

Beliau berkata, penambahbaikan SOP itu dibuat berdasarkan pematuhan syarat di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 ILN82/1964.

Katanya, ia turut mengambil kira pelbagai aspek termasuk kebajikan pemohon tanpa mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada. - Bernama

Artikel Berkaitan: