Subahan kekal presiden Konfederasi Hoki Malaysia

Subahan Kamal
Subahan Kamal
A
A
A

DATUK Seri Subahan Kamal mempertahankan jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi yang disandangnya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra mengesahkan perkara tersebut sekali gus menyaksikan Subahan terus menjadi presiden untuk penggal 2019-2023.

"Hanya dua nama dicalonkan ahli gabungan dengan penyandang jawatan Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal menerima pencalonan tertinggi iaitu 13 pencalonan manakala Datuk Kamarudin Meranun tidak menepati kriteria selepas menerima dua pencalonan.

"Tiada pertandingan bagi jawatan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-66 yang akan diadakan 16 November ini," kata Jadadish dalam sidang media, sebentar tadi.

Berdasarkan peraturan yang ditetapkan di dalam Perlembangan MHC, semua ahli gabungan MHC perlu menghantar senarai pencalonan masing-masing sebelum tarikh tutup iaitu 2 November lalu di mana tiga pencalonan diperlukan untuk melayakkan seseorang calon bertanding bagi jawatan presiden.

Sebelum ini, Subahan mengumumkan akan meletakkan jawatan sekiranya Malaysian Tigers gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun menarik semula keputusan itu baru-baru ini.

Dalam pada itu, bagi jawatan timbalan presiden lelaki menyaksikan tiga pencalonan yang diterajui Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Datuk Seri Megat D Shahriman Datuk Zaharudin serta Jadadish.

Datuk Dr Shamala Subramaniam pula yang menerima 13 pencalonan bakal menerima cabaran satu lawan satu daripada Maheswari Kanniah yang mendapat dua pencalonan bagi perebutan jawatan timbalan presiden wanita.

Artikel Berkaitan:

Kedudukan naib presiden pula menyaksikan 22 pencalonan telah diumumkan untuk merebut tujuh kerusi bagi kategori lelaki dan wanita.

“Saya berharap semua calon dapat menghormati antara satu sama lain sepanjang tempoh ini sehingga berlangsungnya AGM pada 16 November. MHC juga akan mempunyai pemerhati pada proses undian itu nanti bagi memastikan ianya berjalan dengan lancar dan telus,” katanya.