Pemilik dusun maut ditetak dalam kebun durian

No Image Caption
A
A
A

KULIM - Seorang pemilik dusun ditemukan mati dengan kesan tetakan di kebun durian miliknya di Kampung Padang Penyangga, Junjong, Kulim, kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Difahamkan, mangsa keluar rumah pada jam 11 pagi untuk ke kebun, namun tidak pulang selepas jam 7 petang.

Pencarian anak mangsa telah menemukan motosikal mangsa dalam kebun terbabit yang masih berkeadaan baik sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, mangsa berusia 50 tahun ditemui terbaring dengan kesan tetakan di kepala.

Menurutnya, sebilah parang turut dijumpai di lokasi kejadian.

"Pihak polis sedang mengesan pekerja dusun warganegara asing berumur lingkungan 40-an dipercayai telah melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, pekerja berkenaan telah bekerja selama lebih kurang dua tahun dan tinggal di bangsal dalam dusun tersebut.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.